AIM tidak diswastakan, masih kekalkan peranan | DagangNews Skip to main content

AIM tidak diswastakan, masih kekalkan peranan

 

 


KUALA LUMPUR 3 Mac - Amanah Iktiar Malaysia (AIM) menafikan dakwaan bahawa ia akan diswastakan seperti mana dibangkitkan beberapa pihak sejak akhir-akhir ini. 

 

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukim menegaskan AIM masih kekal sebagai badan amanah persendirian dengan berbekalkan peranan dan fungsi sedia ada.

 

Beliau menjelaskan, sebaliknya AIM telah menerima beberapa cadangan kerjasama dari beberapa syarikat swasta untuk menubuhkan Bank Digital di bawah inisiatif Bank Negara Malaysia. 

 

"Dalam hal ini, AIM juga sedang berusaha mengembangkan lagi peranannya untuk menjadi sebuah Bank Digital tanpa menjejaskan Skim Pinjaman Mikro Kredit khusus untuk sahabat AIM.

 

"Setelah menilai dan menerima maklum balas dari pelbagai pihak, AIM membuat keputusan akan terus kekal dengan prinsip, peranan dan fungsi seperti sedia ada tanpa menjejaskan kebajikan pekerja dan peminjam," katanya dalam kenyataan. 

 

AIM adalah sebuah badan bebas (NGO) berperanan memberi pinjaman mikro kepada kaum wanita dari kelompok B40 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di seluruh negara. 

 

Sehingga kini, AIM telah memberi manfaat kepada 920,000 peminjam atau dikenali sebagai sahabat AIM.

 

Peranan dan fungsi AIM, sebuah badan amanah persendirian ditubuhkan melalui Suratcara Perjanjian Amanah pada 17 September 1987 dan didaftarkan di bawah Trustees (Incorporation) Act 1952.

 

AIM berperanan membantu usahawan miskin dan berpendapatan rendah terus kekal seperti mana yang termaktub dalam Akta Pemegang Amanah 1952.

 

Bagi memastikan tanggungjawab dan matlamat ini terlaksana, AIM telah pun membuat pinjaman sebanyak RM1 bilion dari pihak kerajaan dan institusi kewangan dalam negara sepanjang penubuhannya.

 

Menurut Lajim, fokus utama AIM pada 2021 adalah untuk memperkasakan sahabat AIM sedia ada melalui pinjaman mikro kredit, selain membantu dalam pemasaran digital sejajar dengan cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19. 

 

"AIM juga komited membantu sahabat yang terkesan akibat bencana dengan menyalurkan bantuan-bantuan sewajarnya," katanya. - DagangNews.com