AirAsia Cambodia akan ambil masa lebih lama untuk catat untung, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

AirAsia Cambodia akan ambil masa lebih lama untuk catat untung, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Dis - Penyertaan Capital A Bhd. dalam pasaran Kemboja dengan menubuhkan AirAsia Cambodia secara usaha sama dengan Sivilai Asia mampu menawarkan banyak potensi dalam pasaran sektor penerbangan di negara tersebut. 

 

MIDF Research berkata, di Kemboja hanya enam syarikat penerbangan beroperasi dengan keseluruhan 20 pesawat sahaja menjadikan kadar penembusan dalam pasaran penerbangan tambang rendahnya adalah sekitar 28% berbanding lebih 50% di negara ASEAN yang lain. 

 

Ketika ini, katanya, AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang syarikat penerbangan di bawah Capital A hanya mengendalikan lima laluan ke Kemboja dengan 49 penerbangan seminggu berbanding 90 kali sebelum pandemik. 

 

"Kumpulan menyasarkan untuk mengembangkan armada AirAsia Cambodia kepada 15 pesawat bagi memenuhi perjalanan yang mengambil masa empat jam.

 

"Bagaimanapun, kami tidak membuat sebarang perubahan unjuran kepada prospek kumpulan memandangkan syarikat penerbangan yang baru ditubuhkan itu dijangka mengambil masa yang lama sebelum mampu menjana keuntungan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Jumaat lalu, AAAGL) menandatangani perjanjian usaha sama dengan Sivilai Asia untuk menubuhkan AirAsia Cambodia, syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja yang dijangka beroperasi akhir 2023.

 

Baca : Capital A tubuhkan AirAsia Cambodia, dijangka beroperasi akhir tahun hadapan

 

Syarikat penerbangan baharu itu akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan yang paling penting menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh ASEAN, Asia Utara dan seterusnya.

 

Selain Kemboja, kumpulan juga bercadang untuk menubuhkan dua lagi syarikat penerbangan di ASEAN pada masa akan datang. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, penyertaan kumpulan dalam pasaran Kemboja adalah positif tetapi ia akan mengambil masa yang lebih daripada jangkaan untuk mencatat keuntungan.

 

Menurutnya, ia adalah satu langkah yang tepat dalam usahanya untuk menjadi pemain syarikat penerbangan tambang rendah ASEAN yang dominan.

 

"Namun, kami menjangkakan kedatangan pelancong ke Kemboja akan pulih secara berperingkat-peringkat dan hanya akan pulih ke tahap sebelum pandemik sekitar 2026 hingga 2027.

 

"Ini menunjukkan tempoh untuk menjana semula keuntungan akan masa yang lebih lama," jelasnya. 

 

Enam syarikat penerbangan yang beroperasi di Kemboja termasuklah Bassaka Air, Cambodia Airways, Cambodia Angkor Air, JC International Airlines, Lanmei Airlines dan Sky Angkor Airlines.

 

Hanya terdapat satu syarikat penerbangan tambang rendah atau hibrid yang berpangkalan di negara tersebut yang beroperasi dengan empat pesawat.

 

Penganalisis menjangkakan hasil daripada penerbangan di Kemboja akan berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 37% kepada sekitar AS$147 juta dalam tempoh 2022-2026.

 

"Dengan mengambil kira potensi pertumbuhan dalam pasaran Kemboja, terdapat ruang yang mencukupi untuk berkembang lebih luas berbanding negara ASEAN yang laib termasuk Malaysia, Thailand dan Filipina. 

 

"Malah, penganalisis juga menjangkakan ketibaan pelancong ke negara ini akan mencecah tujuh juta pada 2026 hingga 2027, dan meningkat sehingga 7.5 juta pada 2028," katanya.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Capital A dengan harga sasaran (TP) pada 59 sen manakala Kenanga Research mengulangi pandangan 'market perform' pada TP 60 sen. 

 

Setakat 9.56 pagi, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.84% kepada 59 sen dengan 712,500 saham diniagakan. - DagangNews.com