AirAsia dijangka umum laluan baharu dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

AirAsia dijangka umum laluan baharu dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR 22 Mac - AirAsia mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk membuka sepenuhnya sempadan antarabangsa mulai 1 April ini dan bersedia untuk kembali lebih kuat dan terus merancakkan industri penerbangan. 

 

Sejak AirAsia menyambung semula operasinya melalui gelembung perjalanan dengan tumpuan kepada perkhidmatan domestik, ia juga telah menyaksikan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur seiring dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia. 

 

Dengan beberapa laluan antarabangsa yang sedia beroperasi secara terhad, pengumuman pembukaan semula negara pasti memberikan rangsangan penting untuk menyokong kapasiti tambahan dalam kebanyakan pasaran antarabangsa utama AirAsia, sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan yang ketara.

 

 

airasia
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam sidang akhbar hari ini.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam berkata, kumpulan teruja untuk menyambung semula lebih banyak penerbangan di semua pasaran utama AirAsia di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia.

 

Malah, katanya, syarikat juga menambah perkhidmatan tambahan ke beberapa destinasi antarabangsa popular AirAsia termasuk Bali, Manila, Bangkok, Ho Chi Minh City, Phuket dan banyak lagi, bermula Apri inil. 

 

“AirAsia akan terus membuka laluan baru selaras dengan permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara-negara lain dibuka semula secara beransur-ansur. 

 

"Walaupun perkhidmatan domestik kami di seluruh kumpulan meningkat sebanyak 156% dalam beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan permintaan pengguna yang ketara, dan sebanyak 50% untuk antarabangsa, kami menjangkakan untuk kembali kepada tahap sebelum pandemik sepenuhnya atau malahan lebih tinggi lagi menjelang penghujung tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, dengan banyak sempadan negara telah dibuka semula dan pembukaan semula sempadan Malaysia, kumpulan akan melancarkan semula banyak laluan baharu dari hab utama di klia2. 

 

"Sebagai jaminan untuk para tetamu kami, keselamatan sentiasa merupakan keutamaan di AirAsia dan kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia dengan komitmen untuk mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan yang ketat.

 

“Sebagai syarikat penerbangan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua tetamu AirAsia boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap dan dari sudut operasi kami telah bersedia sepenuhnya," katanya.

 

Satu pencapaian besar bagi AirAsia apabila 95% daripada keseluruhan tetamunya kini telah beralih untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan laman web. 

 

Ia merupakan satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi COVID-19 melalui operasi tanpa sentuhan. - DagangNews.com