KUALA LUMPUR 23 Julai - AirAsia akan memulakan penerbangan terus ke Kuching dan Kota Kinabalu secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) bermula 30 Ogos 2024.
Pengembangan operasi itu akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbesar negara berdasarkan rangkaian serta kapasiti dan ia juga akan melengkapi operasi hab utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).
Operasi AirAsia di LTSAAS yang juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang ke dua destinasi itu dijadualkan sebanyak 14 penerbangan seminggu.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua di Kuala Lumpur adalah kerana saiznya yang lebih kecil dan jumlah penumpang yang lebih rendah memastikan perjalanan lebih lancar.
Beliau berkata, operasi di Lapangan Terbang Subang juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan.
"Operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan kami seterusnya, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini. Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
"Ini akan merealisasikan visi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. Kami optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam kami di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada para tetamu," katanya semasa majlis pelancaran di Lapangan Terbang Subang, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keputusan kerajaan untuk memulihkan lapangan terbang ini sebagai hab penerbangan serantau adalah sejajar dengan misi kami untuk terus merevolusikan industri penerbangan.
Beliau berkata, peningkatan trafik udara dan aliran penumpang yang dijana oleh operasi kami akan memberi kesan terhadap industri berkaitan, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di rantau ini.
"Lapangan Terbang Subang merupakan tempat istimewa di hati saya dan kami berbesar hati untuk menyaksikan pemulihannya sebagai salah satu pemain utama dalam landskap industri penerbangan Malaysia.
"Pengembangan operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang bukan sahaja bersifat nostalgia malah strategik. Cabang kejuruteraan Capital A, Asia Digital Engineering (ADE) juga beroperasi di lapangan terbang ini dan dapat meningkatkan kecekapan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat kami," katanya.
Bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99, termasuk bagasi daftar masuk 15kg percuma.
Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com bermula hari ini sehingga 28 Julai 2024 untuk tempoh perjalanan antara 30 Ogos 2024 hingga 8 Oktober 2025. - DagangNews.com