Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Jan - AirAsia mengumumkan memperoleh Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menjalankan latihan penerbangan dron.
Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien berkata, idea di sebalik latihan akreditasi juruterbang dron (RPTO) adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakarannya selama dua dekad.
Katanya, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos.
“Kami komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas.
"Latihan ini dijangka akan menyokong projek perintis menggunakan dron automatik pada masa akan datang bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang airasia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, latihan dalam kelas itu akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.
“Kami berbesar hati untuk menjadi pusat latihan pertama di Malaysia yang memperoleh kelulusan daripada CAAM untuk RPTO kami.
"Pasukan kami telah bekerjasama dengan CAAM dalam jangka masa panjang dan kami berterima kasih kepada mereka atas sokongan berterusan dan berharap untuk memulakan kelas pertama kami dalam beberapa minggu akan datang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars i dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia.
“Kami berbangga untuk memacu revolusi penghantaran menggunakan dron di Malaysia. Ia bukan sahaja pasaran yang lumayan, malah kian meningkat. Di peringkat global, industri ini telah pun berkembang pesat dan dijangka mencecah AS$7.388 bilion menjelang 2027," katanya. -DagangNews.com