AirAsia tawar tambang serendah RM59 sehala ke Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM59 sehala ke Pulau Pinang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - AirAsia menawarkan tambang penerbangan ke Pulau Pinang daripada RM59 sehala termasuk semua bermula 15 Ogos hingga 21 Ogos 2022 untuk tempoh perjalanan antara 22 Ogos 2022 dan 18 April 2023.

 

Tawaran itu sebagai permulaan kerjasama syarikat penerbangan itu dengan Penang Global Tourism (PGT) selepas menandatangani sebuah memorandum kerjasama (MOC) bagi memacu Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.

 

Memorandum kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan dan turut disaksikan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin. 

 

MOC tersebut merangkumi kerjasama komersial yang lebih meluas antara kedua-kedua pihak untuk mencipta peluang perniagaan baharu, membangunkan kempen jualan dan pemasaran, memperkukuh ketersambungan penerbangan serta meningkatkan ekonomi negeri melalui pelancongan.

 

Dinobatkan sebagai salah satu destinasi terbaik untuk dilawati pada tahun 2022 oleh media global dan antara 10 pulau terbaik di Asia Tenggara, Pulau Pinang dijangka menerima lebih ramai pelancong pada tahun ini melalui 184 penerbangan mingguan kumpulan AirAsia.

 

Ia sekali gus menjadikan Pulau Mutiara lebih dekat dengan rantau ini. Ini termasuk dua laluan domestik baharu yang telah dilancarkan baru-baru ini dari Kota Bharu dan Sibu ke Pulau Pinang serta beberapa laluan yang telah kembali kepada kekerapan pra-pandemik.

 

AirAsia bukan sahaja akan menggalakkan pelancong domestik dan antarabangsa untuk melawat Pulau Pinang melalui tujuh laluan domestik dan enam laluan antarabangsa, malah akan mempromosikan pelancongan melalui airasia Super App dengan tawaran menarik pada airasia food, airasia ride, hotel, SNAP (pakej hotel dan penerbangan) dan pelbagai perkhidmatan lain.

 

 

airasia

 

 

Dalam pada itu, Riad berkata, usaha secara kolektif diperlukan untuk membina semula industri pelancongan dan pihak PGT telah memainkan peranan mereka dalam memastikan negeri Pulau Pinang bersedia untuk menjadi destinasi pelancongan utama selepas pandemik. 

 

Beliau berkata, sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai bahagian pasaran terbesar di Pulau Pinang iaitu sebanyak 50%, usaha ini adalah sejajar dengan rancangan pengembangan kami untuk membuka dan membangunkan pasaran baharu ke/dari negeri ini. 

 

“Sejak penyambungan semula perkhidmatan kami ke/dari Pulau Pinang secara beransur-ansur, kami telah menerbangkan lebih 584,000 tetamu ke negeri ini termasuk lebih 87,000 tetamu antarabangsa sejak sempadan dibuka semula pada bulan April. 

 

"Ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, PGT serta pemain industri pelancongan lain dan kami berterima kasih kepada mereka untuk kerjasama berterusan," katanya.

 

Katanya, dalam usaha untuk terus menambah rangkaian ke Pulau Pinang, mereka percaya kekerapan penerbangan mingguan terkininya sebagai sebuah kumpulan akan meningkatkan peluang pelancongan yang ketara kepada para pemain industri tempatan. - DagangNews.com