AirAsia tubuh subsidiari kendali MRO | DagangNews Skip to main content

AirAsia tubuh subsidiari kendali MRO

SEPANG 10 Sept. - AirAsia Group Berhad mengumumkan penubuhan Asia Digital Engineering Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh yang dijangka menjadi peneraju di Asia sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan untuk pesawat kumpulan AirAsia dan pesawat komersial di rantau ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penubuhan Asia Digital Engineering sebagai penyedia perkhidmatan MRO serantau oleh AirAsia adalah bertepatan dengan dasar Pengangkutan Nasional, di mana kerajaan berusaha untuk membantu pertumbuhan semua perkhidmatan sokongan dalam industri penerbangan bagi meningkatkan daya saing Malaysia dalam operasi kargo udara. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, “penubuhan Asia Digital Engineering ini dijangka memperluaskan kepakaran AirAsia dalam bidang kejuruteraan pesawat dan menjadi peneraju di Asia sebagai penyedia perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) menggunakan data dan teknologi untuk semua syarikat penerbangan komersial di rantau ini, bermula dengan kumpulan AirAsia.

“Anak syarikat baharu ini menawarkan pelbagai kecekapan berdasarkan pengalaman kami selama 19 tahun dalam mengendalikan dan mengekalkan lebih daripada 250 buah pesawat Airbus A320 dan A330.

"Semua jurutera AirAsia dan aset MRO akan digabungkan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal bagi pesawat kami, dan syarikat penerbangan komersial lain di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Digital Engineering Mahesh Kumar berkata, beliau berbesar hati kerana diberi tanggungjawab oleh pihak pengurusan AirAsia untuk memimpin anak syarikat baharu ini yang telah mendapat kelulusan oleh Organisasi Penyelenggaraan Pesawat (AMO) dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada CAAM dan pihak berkuasa lain yang relevan kerana memberikan kepercayaan kepada kami yang terus berusaha untuk membangunkan seluruh bidang penerbangan komersial, merangkumi perkhidmatan pengangkutan udara, perkhidmatan penumpang, dan kini, perkhidmatan MRO untuk syarikat penerbangan,” ujarnya.

Berpangkalan di ibu pejabat global AirAsia RedQ di Sepang, anak syarikat baharu tersebut akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, sokongan kejuruteraan, perkhidmatan komponen dan gudang, perkhidmatan digital dan inovasi untuk pesawat di bawah kumpulan syarikat penerbangan AirAsia dan syarikat penerbangan lain di rantau ini.

Seiring dengan perjalanan transformasi digital Industri 4.0, ADE memanfaatkan teknologi terkini dalam automasi, analisis data besar, ramalan penyelenggaraan, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dengan berkesan sambil mengekalkan tahap keselamatan, kualiti yang tinggi dan kelayakan penerbangan dengan sasaran pengurangan kos penyelenggaraan sebanyak 10%. - DagangNews.com