AirAsia X sasar pulih sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun | DagangNews Skip to main content

AirAsia X sasar pulih sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun

(Empat dari kiri) Colin Currie, Datuk Kamarudin Meranun dan Benyamin Ismail ketika majlis pelancaran semula AirAsia X di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR 15 Jun - AirAsia X (AAX) menyasarkan untuk pulih dengan kapasiti penumpang kembali ke tahap pra-COVID-19 dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail berkata, sasaran itu adalah berdasarkan kepada penyambungan semula operasi penerbangan jarak jauh itu pada awal tahun ini.

 

Beliau berkata, ia juga seiring dengan peningkatan semula permintaan untuk perjalanan jarak jauh disebabkan banyak negara sudah membuka kembali pintu sempadan antarabangsa mereka.

 

Katanya, selepas dua tahun terpaksa menggantung penerbangan AAX, kumpulan terus optimis dan teruja untuk kembali menjadi antara pemain utama segmen penerbangan jarak jauh.

 

"Walau bagaimanapun kami masih perlu berhati-hati dalam meningkatkan kapasiti kami. AAX perlu terlebih dahulu memastikan laluan yang dituju itu mampu memberikan nilai semula. Melalui penilaian dan perancangan yang dilaksanakan AAX, kami mengunjurkan bahawa akan mencapai tahap sebelum COVID-19 dalam masa dua tahun.

 

"Jika pasaran kembali melonjak lebih pantas, sudah tentu kami akan mempercepatkan segala perancangan. Namun jika ia bergerak secara sederhana, kami akan mengambil masa kami untuk mencapai kapasiti sebelum COVID-19," katanya selepas majlis pelancaran semula AAX di sini hari ini.

 

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun dan Presiden (Komersial) Capital A, Colin Currie.

 

 

airasia

 

 

Ketika ditanya mengenai langkah AAX untuk mengambil semula kakitangannya yang diberhentikan sebelum ini, Benyamin berkata ia sentiasa menjadi keutamaan kepada pihaknya termasuk AirAsia.

 

Beliau berkata, ketika ini AAX ingin memperkukuhkan semula operasi penerbangannya dengan tenaga kerja yang sedia ada, lapor Berita Harian.

 

"Jika AAX dapat kembali meningkat dengan mendadak, mencapai sasaran penggunaan pesawat dan memerlukan kembali tenaga kerja, sudah tentu kami akan membuka semula peluang pekerjaan ini. Kami sangat berharap untuk mengambil kembali juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur," katanya.

 

 

airasia

 

 

Sementara itu, AAX mengumumkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London, Dubai dan Istanbul pada tahun ini. Pada masa sama, AAX juga meraikan pelancaran empat laluan baharu ke Jepun dan Hawaii yang akan mula dijual bermula 15 Jun 2022.

 

AAX menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu. 

 

Semua laluan itu sedia ditempah bermula hari ini hingga 26 Jun 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023, bermula daripada RM499 (tambang sehala termasuk semua) untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed. - DagangNews.com