Aiza Azreen Ahmad dilantik Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC | DagangNews Skip to main content

Aiza Azreen Ahmad dilantik Ketua Pegawai Perniagaan Digital MDEC

Aiza Azreen Ahmad

Aiza Azreen Ahmad 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelantikan Aiza Azreen Ahmad sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Digital dalam usaha mencipta dan mengukuhkan ekonomi digital negara.

 

Aiza akan bekerjasama rapat bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah MDEC bagi memacu kesemua pembangunan perniagaan, aspek strategi dan operasi syarikat termasuk pembangunan korporat dan inisiatif perniagaan, perancangan strategik dan sebagainya.

 

Pelantikan tersebut adalah satu lagi langkah ke hadapan bagi MDEC dalam menyusun organisasi yang berwibawa.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, dengan kehadiran Aiza, pihaknya berhasrat untuk memperkukuh kepakaran dan pengalaman dalam merialisasikan Malaysia 5.0.

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

"Pelantikannya akan membolehkan kami mengembang dan memantapkan lagi inisiatif pengembangan perniagaan dalam bidang ekonomi digital seiring dengan matlamat kami dan visi MyDigital," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Dalam tugas baharunya, Aiza akan menjadi anggota Majlis Operasi MDEC (MOC) dan melaporkan secara terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif.

 

Beliau akan menyelia Adoption Ecosystem dalam E-Dagang, Business Digital Adoption, Data Ecosystem Development dan jabatan Digital Infrastructure.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pelantikan Aiza akan mengukuhkan lagi barisan pihaknya dalam usaha mengembangkan kemampuan perniagaan di peringkat domestik dan global.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

"Saya teruja untuk bekerjasama dengan Aiza dan saya yakin bahawa dia akan memberi nilai tambah kepada MDEC dalam usaha memacu jangkauan digital kepada masyarakat dan ekonomi," tambah beliau.

 

Aiza memiliki pengalaman kerjaya selama 20 tahun dan bekerja di dua negara iaitu Australia dan Malaysia.

 

Beliau berkhidmat dalam pelbagai industri yang mengfokuskan kepada strategi pembangunan dan pelaksanaan transformasi perniagaan yang berskala besar. - DagangNews.com