Akta 446 penginapan pekerja dalam proses dipinda - PM | DagangNews Skip to main content

Akta 446 penginapan pekerja dalam proses dipinda - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi standard menjadi antara punca utama penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja di negara ini. 

 

Sehingga 3 Februari 2021, sektor pengilangan merekodkan jumlah kluster COVID-19 yang tertinggi iaitu 128 kluster, diikuti oleh sektor pembinaan sebanyak 82 kluster dan sektor perkhidmatan sebanyak 61 kluster, katanya. 

 

Sehubungan itu, menerusi kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Proklamasi Darurat, Muhyiddin berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). 

 

Ini bertujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, ujarnya. 

 

“Antaranya ialah mewajibkan majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard  ditetapkan; menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja; melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal; dan memastikan agen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta 446,” ujarnya dalam perutusan khas di Facebook hari ini. 

 

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

 

Muhyiddin mendedahkan bahawa 59% jangkitan COVID-19 berlaku di tempat kerja, 19% di pusat tahanan, 14% di kediaman, 5% di rumah ibadat atau aktiviti keagamaan dan masing-masing 2% kes import dan kumpulan berisiko.

 

Beliau sekali lagi memberi penekanan kepada aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kilang-kilang, tapak-tapak pembinaan, penginapan pekerja dan tempat kerja.

 

Tegasnya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa.

 

“Bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga 3 Februari 2021, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara. 

 

“Daripada jumlah ini, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.


 

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah mengenakan kompaun ke atas 82,141 individu dan membuat 31,740 tangkapan atas pelbagai kesalahan,” jelasnya lanjut. 

 

Oleh itu, Muhyiddin menggesa pihak industri dan orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya SOP yang dikenakan oleh kerajaan. 

 

Ujarnya, kerajaan telah mendengar pandangan mereka untuk tidak menutup ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com