Aktifkan semula majlis khas atasi masalah sekuriti makanan negara - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Aktifkan semula majlis khas atasi masalah sekuriti makanan negara - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan, hari ini.

PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan disaran mengaktifkan semula majlis khas yang pernah diwujudkan sebelum ini dalam usaha menangani masalah sekuriti makanan negara serta mencari jalan mengatasi krisis itu.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengaktifan semula majlis berkenaan juga dapat membantu kerajaan meningkatkan hasil pengeluaran negara.

 

"Ini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berdepan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, apabila sektor pengeluaran makanan seperti bahan makanan asas semakin berkurangan.

 

"Kami cadangkan kerajaan aktifkan semula majlis yang sudah ada sebelum ini, kerana ia dapat meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, seperti bahan makanan. Ada (bahan makanan) sudah dikeluarkan, namun ia belum sampai ke tahap sara diri.

 

"Sebab itu, kita masih mengimport dan terpaksa membayar harga lebih tinggi, seterusnya pengguna di negara ini terpaksa menanggung beban kerana harga barang makanan meningkat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, hari ini.

 

Muhyiddin berkata, Malaysia sebenarnya berupaya mengeluarkan bahan makanan sendiri, namun sektor berkenaan belum diteroka secara meluas.

 

"Antaranya berkaitan penggunaan teknologi dan bekalan tenaga kerja, ini semua penting walaupun ketika endemik kita perlu ambil perhatian segera," katanya, lapor Berita Harian.

 

Muhyiddin berkata, pengaktifan semula majlis itu bukan satu jalan penyelesaian, namun ia boleh menjadi antara langkah menangani masalah agromakanan yang sedang dihadapi negara ini.

 

"Banyak sebenarnya isu berkaitan pembangunan sektor agromakanan yang boleh diberi tumpuan, sekali gus mendorong pelabur mempertingkatkan sektor pertanian di negara ini dan membantu menangani masalah jaminan makanan," katanya.

 

Pada 8 September 2020, beliau yang ketika itu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara seperti disarankan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

 

Menerusi kerangka berkenaan, empat kluster diwujudkan di bawah tiga kementerian dan satu agensi yang berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan serta pelaksanaan strategi dikenal pasti.

 

Kluster itu ialah Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

 

Dua lagi kluster ialah Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan serta Kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara. - DagangNews.com