Alam Maritim kini diklasifikasi syarikat PN17, bincang penstrukturan semula hutang dengan CDRC | DagangNews Skip to main content

Alam Maritim kini diklasifikasi syarikat PN17, bincang penstrukturan semula hutang dengan CDRC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Nov - Alam Maritim Resources Bhd kini terperosok ke dalam kategori syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas juruaudit luarnya menyatakan penafian pendapat dalam akaun teraudit kumpulan yang diumumkan pada Isnin.

 

Firma Baker Tilly Monteiro Heng PLT menyatakan penafian pendapat dalam penyata kewangan teraudit bagi tempoh kewangan dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022, kata Alam Maritim dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata ia sedang mengambil langkah perlu untuk menangani status PN17, dan telah mengusahakan cadangan penstrukturan semula hutangnya dengan bank pemiutang di bawah naungan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) Bank Negara Malaysia.

 

"Pelan penyusunan semula yang komprehensif sedang dijalankan untuk menangani status PN17 seperti yang dinyatakan dalam cadangan skim penstrukturan semula yang telah dibentangkan kepada bank pemiutang," katanya.

 

Pada 1 Julai tahun lepas, Alam Maritim menerima kelulusan daripada CDRC untuk permohonannya bagi mendapatkan bantuan untuk menjadi pengantara antara kumpulan itu dengan pembiaya dan pemberi pinjamannya.

 

Alam Maritim telah mengalami kerugian sejak tahun kewangan 2016 (FY16) berakhir 31 Disember 2016. Ia memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM45.81 juta pada FY15, sebelum tergelincir dengan kerugian selepas cukai sebanyak RM142.66 juta pada FY16.

 

Ia terus mengalami kerugian pada tahun-tahun berikutnya, dengan kerugian selepas cukai sebanyak RM145.38 juta pada FY17 yang terus meningkat kepada RM167.61 juta pada FY18.

 

Kerugian selepas cukai mengecil kepada RM80.28 juta pada FY19, sebelum meningkat kepada RM226.73 juta pada FY20 dan RM209.61 juta pada FY22.

 

Bagi tiga bulan berakhir 30 Jun 2022, ia mencatatkan kerugian bersih RM6.21 juta di belakang pendapatan RM77.59 juta. Tiada angka perbandingan tahun ke tahun disebabkan perubahan pada akhir tahun kewangan kumpulan, kepada 30 Jun daripada 31 Dis.

 

Pada suku sebelumnya yang terdekat (Januari hingga Mac), kumpulan itu melaporkan kerugian bersih suku tahunan sebanyak RM10.36 juta dan pendapatan RM56.82 juta.

 

Menurut Alam Maritim, perubahan pada akhir tahun kewangan adalah untuk memberi lebih banyak masa untuk memuktamadkan skim penstrukturan semulanya. Perubahan itu juga untuk memudahkan perancangan audit dan pengagihan sumber yang lebih baik.

 

Bagi tempoh kumulatif 18 bulan berakhir 30 Jun 2022, Alam Maritim mencatatkan kerugian bersih RM190.73 juta atas hasil RM277.89 juta. 

 

Ketika pasaran dibuka Selasa, saham Alam Maritim susut 16.7% atau 5 sen kepada 25 sen, menjadikan modal pasarannya bernilai RM38.3 juta. - DagangNews.com