Alibaba Cloud lancar Program Digital Heroes bagi perkukuh bakat digital di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Alibaba Cloud lancar Program Digital Heroes bagi perkukuh bakat digital di Malaysia

Datuk Seri Dr. Adham Baba (tengah) melancarkan Program Digital Heroes Alibaba Cloud pada 25 Ogos 2022
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Alibaba Cloud melancarkan inisiatif untuk bakat baharu dan mempamerkan pelbagai penyelesaian inovatif berasaskan awan pada Sidang Kemuncak Alibaba Cloud Day KL bagi memperkukuhkan lagi komitmen mereka dalam menyokong proses pendigitalan Malaysia.

 

Dengan kehadiran Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba, peneraju perkhidmatan pengkomputeran awan itu melancarkan Program Digital Heroes, satu inisiatif pengukuhan bakat digital di seluruh negara.

 

Program itu bertujuan bukan sahaja memberi inspirasi kepada bakat-bakat muda, tetapi juga berhasrat untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri, di samping menyediakan tenaga kerja digital yang kukuh di Malaysia.

 

Sebagai langkah untuk memperluaskan jejak digital Alibaba Cloud ke lebih banyak negeri di Malaysia, Program Digital Heroes merupakan satu evolusi bagi Alibaba Cloud Academic Empowerment Program (AAEP), satu inisiatif yang mengukuhkan bakat digital baharu melalui bantuan institusi pendidikan bertauliah yang mengambil bahagian. 

 

Dibina berdasarkan program amali dan inisiatif AAEP yang terkini, Program Digital Heroes merangkumi tiga bidang utama baharu termasuk MY Digital Talent in U Competition, Nationwide University Tour dan Student Ambassador.

 

Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang berkata, Program Digital Heroes memastikan kelahiran bakat digital yang akan berterusan dan dapat menyumbang kepada ekosistem perniagaan tempatan.

 

“Sebagai peneraju global dalam dunia pengkomputeran awan, kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dan ingin memanfaatkan teknologi maju dan pengalaman terbukti kami untuk menyokong pembangunan bakat tempatan sambil memperkasakan lagi proses transformasi digital Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Adham yang melancarkan program itu berkata, sebagai salah satu rangka dalam rancangan Malaysia untuk mengubah negara menjadi salah satu peneraju dalam ekonomi digital serantau, pihaknya mengalu-alukan penyedia teknologi untuk melabur di Malaysia dan memanfaatkan kemahiran dan keupayaan bakat tempatan. 

 

"Alibaba Cloud merupakan satu contoh yang baik, yang mana syarikat itu telah berjaya menubuhkan dua pusat data tempatan dan mempunyai pasukan yang kukuh untuk menyokong syarikat tempatan serta menyediakan teknologi pengkomputeran dan perkhidmatan awan terkemuka kepada mereka," katanya.

 

Sidang kemuncak itu juga telah memberi pencerahan mengenai kemajuan dalam teknologi dan kemampanan, seperti perkongsian maklumat terkini mengenai kemampanan dan masa depan dunia perniagaan.

 

Ia disampaikan pemimpin daripada pelbagai sektor seperti telekomunikasi, kewangan, peruncitan, logistik pintar, serta eksekutif-eksekutif daripada Alibaba Cloud. 

 

Beberapa sesi itu telah menampilkan penceramah daripada Genting Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Entomo Malaysia Sdn Bhd dan China Mobile International yang menyampaikan pemikiran dan pandangan menarik kepada peserta. - DagangNews.com