Alibaba Cloud, SAINS perluas kerjasama tingkatkan perkhidmatan awam digital Sarawak | DagangNews Skip to main content

Alibaba Cloud, SAINS perluas kerjasama tingkatkan perkhidmatan awam digital Sarawak

Tan Sri Dr. George Chan, Pengerusi SAINS dan Selina Yuan, Presiden Perdagangan Antarabangsa Alibaba Cloud Intelligence semasa majlis MoU di Alibaba Cloud Valley di Hangzhou, China.
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 25 Jun - Alibaba Cloud mengumumkan perluasan kerjasama dengan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) bagi meningkatkan perkhidmatan awam digital Sarawak dan menggalakkan amalan kelestarian melalui penyelesaian awan dan kecerdasan buatan (AI) yang inovatif.

 

Kerjasama tersebut dirasmikan dengan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Alibaba Cloud dan SAINS di Alibaba Cloud Valley di Hangzhou, China semalam.

 

Dibina atas kejayaan kerjasama sedia ada dalam penyelesaian awan digital SAINS sejak Oktober lalu, Alibaba Cloud dan SAINS akan mendalami kerjasama yang baharu, berteraskan dua bidang utama termasuk perkhidmatan awam digital dan AI hijau. 

 

Kerjasama itu bersedia untuk mempercepat lagi transformasi digital Sarawak dan kelestarian dengan memanfaatkan teknologi awan Alibaba Cloud yang teguh, selamat dan maju serta penyelesaian dikuasakan AI yang inovatif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Bin Seman berkata, SAINS komited dalam memacu transformasi digital Sarawak menjadi negeri yang maju menjelang tahun 2030, memastikan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar. 

 

Katanya, kerjasama yang diperluas dengan Alibaba Cloud ini sepenuhnya sejajar dengan misi tersebut. 

 

"Alibaba Cloud menawarkan pelbagai kepakaran dan penyelesaian yang luas, menyemarakkan lagi inisiatif untuk mencapai matlamat kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dinamik yang menyambut baik pandangan, kepakaran dan pendekatan inovatif untuk memacu perjalanan digital Sarawak.

 

Kun Huang, Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence berkata, ekonomi digital yang dinamik memerlukan asas digital yang stabil dan kukuh, termasuk infrastruktur digital, bakat digital, kemahiran dan keterangkuman. 

 

"Sebagai penyedia perkhidmatan awan yang terkemuka, kami berbesar hati untuk memperdalam kerjasama untuk membantu SAINS dalam misinya menyampaikan perkhidmatan awam digital yang inovatif dan lestari serta mencipta penyelesaian efektif yang memberi manfaat kepada transformasi digital Sarawak,” jelasnya.

 

Inisiatif perkhidmatan awam digital di bawah kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan awam Sarawak dengan menyepadukan teknologi AI Alibaba Cloud dalam menyelaraskan operasi, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan menggalakkan kecekapan berteraskan pengguna. 

 

Kerjasama ini akan mengenal pasti projek perintis dalam operasi sektor awam yang dapat memanfaatkan AI, mempertingkat pembuatan-keputusan dan pengurusan sumber. 

 

Selain itu, kedua-dua pihak juga merancang untuk mewujudkan rangka kerja bersama untuk mengukur keberkesanan dan kecekapan aplikasi AI dalam sektor awam.

 

Selaras dengan inisiatif AI hijau, Alibaba Cloud dan SAINS akan bekerjasama menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan profesional yang didorong oleh AI bagi menyokong Kerajaan Sarawak dalam mencapai objektif kelestariannya. 

 

Inisiatif ini merangkumi penciptaan toolkit kelestarian khusus, yang akan dibangunkan berdasarkan inisiatif kelestarian sedia ada Sarawak untuk meningkatkan kecekapan dalam penilaian kelestarian dengan memanfaatkan teknologi awan dan AI canggih Alibaba Cloud.

 

Dengan menyepadukan penyelesaian kelestarian berasaskan awan, kerjasama ini juga bertujuan untuk menyokong Kerajaan Sarawak menetapkan penanda aras kelestarian, mengukur jejak karbon, dan melaksanakan strategi pengurangan karbon serta meningkatkan pengurusan tenaga dalam infrastruktur kerajaan. 

 

Ini akan membantu Sarawak dalam menyediakan perkhidmatan awam yang lebih lestari dan mencapai matlamat neutraliti karbon.

 

Oktober lalu, SAINS dan Alibaba Cloud memulakan kerjasama mereka dengan menandatangani MoU ketika SAINS melancarkan penyelesaian awan berteknologi tinggi, inovatif dan berkawalan ketat yang dikuasakan oleh Alibaba Cloud di Malaysia.

 

Kerjasama yang baru dimeterai ini menzahirkan komitmen jangka panjang Alibaba Cloud dalam memperkasakan Malaysia sebagai negara dengan nilai tambah ekonomi yang tinggi. - DagangNews.com