KUALA LUMPUR 12 Dis - Bursa Malaysia terus mencatat aliran keluar bersih asing buat minggu keempat berturut-turut, meningkat lebih dua kali ganda kepada RM731.8 juta daripada RM301.2 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.
Laporan aliran dana MIDF Research mendapati pelabur asing menjual ekuiti tempatan setiap hari pada minggu berakhir 9 Disember 2022 dengan aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM259.1 juta diikuti Isnin, RM196.7 juta.
"Sektor perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar asing paling tinggi sebanyak RM459.7 juta diikuti perkhidmatan dan produk perindustrian dan perladangan masing-masing sebanyak RM100 juta dan RM78.3 juta.
"Bagi sektor yang mencatat aliran masuk asing ialah pembinaan sebanyak RM68.2 juta diikuti pengangkutan dan logistik (RM11.1 juta) dan REIT (RM1 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan pula meneruskan pembelian bersih ekuiti buat minggu kedua berturut-turut ekoran situasi politik yang lebih stabil merangsang sentimen pelabur.
Pada minggu lalu, mereka membeli bersih ekuiti sebanyak RM680.4 juta, merekodkan pembelian tertinggi setakat tahun ini.
Pembelian ekuiti paling tinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM230.8 juta diikuti Isnin dan Khamis masing-masing sebanyak RM170.5 juta dan RM108.9 juta.
Sementara itu, pelabur runcit kembali membeli ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM51.4 juta daripada jualan bersih sebanyak RM130.1 juta pada minggu sebelumnya.
Aliran paling tinggi direkodkan pelabur runcit ialah pada Rabu sebanyak RM28.3 juta dan kembali menjual ekuiti pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM9 dan RM8.7 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing sudah membeli sebanyak RM4.8 bilion ekuiti selama 27 daripada 49 minggu setakat tahun ini.
Pelabur institusi tempatan menjual ekuiti selama 32 minggu berjumlah RM6.89 bilion manakala pelabur runcit pula telah membeli ekuiti selama 31 minggu berjumlah RM2.09 bilion.
Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing menurun 51.1% manakala pelabur institusi tempatan dan runcit juga masing-masing susut 23.6% dan 11.2%.
Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI susut 0.31% atau 4.61 mata untuk mengakhiri dagangan Jumaat pada 1,477.19 mata dengan ringgit turut susut 0.38% kepada RM4.4045 berbanding dolar AS.- DagangNews.com