Aliran masuk asing hanya RM6.71 juta minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk asing hanya RM6.71 juta minggu lalu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Selepas 7 minggu berturut-turut menyaksikan aliran keluar, pelabur asing minggu lalu kembali membeli ekuiti tempatan.

 

Bagaimanapun, aliran masuk asing ini hanya mencatatkan jumlah yang kecil sebanyak RM6.71 juta, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research. 

 

Firma itu berkata, pelabur asing membeli sebanyak RM20.84 juta ekuiti apabila pasaran dibuka semula pada Isnin. 

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan menjual RM118.32 juta ekuiti manakala pelabur runcit pula membeli RM97.48 juta ekuiti," katanya. 

 

Bagi minggu berakhir 20 Ogos itu, pelabur asing menjual ekuiti selama 2 hari dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Khamis sebanyak RM119.46 juta manakala paling rendah pada Jumaat berjumlah RM23.12 juta. 

 

Pelabur asing membeli ekuiti pada Isnin, Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM20.84 juta, RM96.58 juta dan RM31.87 juta. 

 

Menurut MIDF Research, pelabur runcit masih membeli ekuiti tempatan setiap hari sepanjang minggu lalu berjumlah RM202.56 juta.

 

"Pembelian ekuiti terbesar direkodkan pada Isnin manakala terendah pada Jumaat sebanyak RM13.87 juta," katanya. 

 

Pasaran tempatan turut menyaksikan jualan ekuiti oleh pelabur institusi tempatan berjumlah RM209.27 juta.

 

"Mereka menjual ekuiti pada Isnin, Selasa dan Rabu dengan paling banyak direkodkan pada Selasa sebanyak RM118.67 juta," tambahnya.

 

Firma tersebut mendapati sejak awal tahun ini, pelabur runcit telah membeli RM9.58 bilion ekuiti tempatan. 

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing menjual ekuiti sebanyak RM3.61 bilion dan RM5.97 bilion.

 

Secara keseluruhan pasaran pada minggu lalu menokok 0.86% untuk berakhir pada 1,18.03 mata manakala ringgit turut mengukuh kira-kira 0.04% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup kepada RM4.2390 pada Jumaat. 

 

Dalam kalangan saham yang menyaksikan aliran masuk paling banyak ialah Public Bank berjumlah RM2.75 juta diikuti Bursa Malaysia dan Gamuda dengan masing-masing berjumlah RM2.04 juta dan RM1.99 juta. - DagangNews.com