Alliance Bank, CGC lancarkan Kad Kredit Perniagaan Visa Platinum PKS  | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank, CGC lancarkan Kad Kredit Perniagaan Visa Platinum PKS 

(Dari kiri) Ketua Penyelesaian Komersial & Pergerakan Wang untuk Visa Asia Pasifik, Chavi Jafa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak semasa pelancaran rasmi Kad Kredit Perniagaan Alliance Bank Visa Platinum dengan perlindungan jaminan CGC
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Alliance Bank Malaysia Berhad bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) melancarkan Kad Kredit Perniagaan Alliance Bank Visa Platinum, kad kredit perniagaan yang disokong oleh perlindungan jaminan CGC.

 

Melalui perkongsian itu, kad kredit tersebut menawarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) saluran tambahan bagi mendapatkan akses yang lebih mudah dan cepat kepada dana bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka.

 

Alliance Bank berkata, kad inovatif tersebut memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar kepada perniagaan, menjadikannya lebih mudah untuk menguruskan operasi harian, tanpa memerlukan cagaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, kad kredit itu merupakan satu pendekatan bagi membantu mikro-PKS mendapatkan pembiayaan, terutamanya mereka yang tidak mempunyai cagaran atau rekod kredit yang terhad. 

 

"Penyelesaian inovatif ini merapatkan jurang bagi PKS dengan menawarkan laluan yang mudah diakses dan lebih pantas kepada pembiayaan serta membantu perniagaan kecil meningkatkan pengurusan aliran tunai mereka. 

 

"Dengan Kad Kredit Perniagaan, perniagaan boleh meningkatkan aliran tunai mereka dengan tempoh pembayaran balik tanpa faedah sehingga 56 hari dan pilihan pembayaran fleksibel 0% sehingga enam bulan,” ujar beliau.

 

Kad kredit itu membolehkan perniagaan  memilih ganjaran pulangan tunai sehingga 1% untuk perbelanjaan perniagaan atau ciri caj kewangan rendah sebanyak 8.88% setahun. 

 

Manfaat lain termasuk penjimatan, diskaun dan tawaran yang lebih baik untuk menjamu selera, bermain golf, melancong dan membeli-belah. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, perkongsian strategik Alliance Bank-CGC telah menjana RM3.2 billion dalam jumlah Jaminan Portfolio (PG) yang dikhususkan untuk menyokong PKS yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan.

 

"PG terkini berjumlah RM550 juta yang dilancarkan pada 27 Mei 2024, menunjukkan komitmen bersama kami untuk menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan PKS Malaysia.

 

"Selain itu, penyertaan CGC dalam Edisi Pemecut Cabaran BizSmart Alliance Bank menyediakan PKS peluang  meningkatkan kemahiran, mengembangkan pengetahuan kritikal dan mendapat pendedahan langsung kepada pemimpin industri,” ulas beliau.- DagangNews.com