Alliance Bank dan CGC Digital jalin kerjasama mudahkan pembiayaan kepada perniagaan baru | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank dan CGC Digital jalin kerjasama mudahkan pembiayaan kepada perniagaan baru

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan CGC Digital Sdn Bhd (CGC Digital) melancarkan skim jaminan digital bagi membantu syarikat yang baru beroperasi mendapatkan kemudahan pembiayaan.

 

Dikenali sebagai Alliance Digital SME Startup Financing, skim itu membolehkan lebih banyak perniagaan yang tidak memiliki kolateral untuk mendapatkan pembiayaan.

 

Kerjasama dengan CGC Digital ini membuka peluang kepada perniagaan baharu bermula enam bulan dan ke atas untuk memperoleh pembiayaan berjumlah RM20,000 hingga RM100,000 melalui PKS Digital Alliance Bank. 

 

Menurut Alliance Bank, pelanggan hanya perlu menyediakan satu dokumen sahaja iaitu penyata bank untuk tempoh enam bulan bagi memohon pinjaman melalui proses dalam talian sepenuhnya yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

Ketua Pegawai Perbankan PKS & Komersial Kumpulan Alliance Bank, Raymond Chui berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk membantu lebih 100 perusahaan mikro dan kecil menerusi kerjasama ini.

 

raymond
Ketua Pegawai Perbankan PKS & Komersial Kumpulan Alliance Bank, Raymond Chui

 

Beliau bekata, pihaknya sedar segmen PMKS berdepan cabaran khusus untuk mendapatkan pembiayaan sedangkan mereka memberi sumbangan besar kepada ekonomi termasuk menyediakan peluang pekerjaan.

 

Katanya, perkara ini berlaku disebabkan oleh kekurangan cagaran dan sejarah kredit yang tidak panjang.

 

"Kerjasama dengan CGC Digital ini membantu mengembangkan rangkuman kewangan dan memudahkan PMKS yang baharu mengakses ekosistem perbankan. 

 

"Pelanggan perniagaan kami akan menemui nilai tambah dalam rangkaian penuh penyelesaian perbankan dan bukan perbankan kami yang mampu memberi sokongan sepanjang kitaran hayat perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Untuk menambah baik pengalaman pelanggan, Alliance Bank turut memperkenalkan Bank Statement Analyser (BSA) yang bertujuan memperkemas operasi kewangan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin berkata, CGC Digital akan terus berusaha menyediakan akses pembiayaan kepada PMKS yang kekurangan peluang. 

 

cgc
Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin

 

Katanya, ini dilakukan menerusi inovasi jaminan kredit CGC yang menerima data alternatif dalam penilaian risiko.

 

"Kami mahu mencipta nilai bersama-sama PMKS terutamanya dengan syarikat-syarikat baharu dan memberi sokongan sepanjang peringkat pertumbuhan mereka. 

 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Alliance Bank dalam membuktikan konsep ini. Kami memiliki visi yang dikongsi bersama untuk membangunkan lebih banyak produk kewangan yang memenuhi keperluan PMKS, terutamanya perusahaan yang tidak memiliki sejarah yang panjang dalam ekosistem digital," jelasnya.- DagangNews.com