KUALA LUMPUR 16 Mac - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad memudahkan urusan tuntutan 53 pelanggan yang terkesan akibat bajir kilat yang melanda Lembah Klang, baru-baru ini menerusi inisiatif tuntutan pantas banjir syarikat itu.
Ketua Tuntutan Allianz General, Damian Williams berkata, dua trak 4x4, sebuah caravan dan pasukan pelaras digerakkan bagi membantu pelanggan yang terkesan di beberapa kawasan di Lembah Klang manakala trak tunda Allianz Road Rangers menyediakan bantuan penundaan kepada 76 buah kenderaan.
"Banjir merupakan kejadian biasa yang berlaku dan ia merupakan cabaran buat kami selaku penanggung insurans.
"Kami perlu sentiasa bersedia dan bertindak pantas untuk pelanggan kami apabila mereka memerlukannya.
"Kali ini, kami mempunyai 60 buah trak tunda Allianz Road Rangers yang sentiasa bersedia di Lembah Klang untuk memastikan kami boleh segera berkhidmat untuk pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi penyelesaian tuntutan pantas, pelanggan Allianz General boleh menghubungi 1-800-22-5542 dan seorang pelaras akan dihantar untuk meninjau hartanah yang terkesan dalam masa 24 jam untuk membantu tuntutan.
Untuk pemegang polisi individu (seperti Smart Home Cover), Syarikat menyediakan penyelesaian tuntutan penuh atau pembayaran sementara dalam tempoh lima hari selepas lawatan dari pelaras.
Pelanggan yang memiliki insurans kebakaran (jalur komersial), akan menerima pembayaran dalam masa lima hari setelah menerima kunjungan dari pelaras dan penyelesaian penuh akan dibayar antara 21 hingga 28 hari. - DagangNews.com