Ambil suntikan dos penggalak bagi berusia lebih 60 tahun, saran Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Ambil suntikan dos penggalak bagi berusia lebih 60 tahun, saran Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN diberi suntikan dos penggalak di PPV Axiata Arena di Kuala Lumpur, 23 Oktober 2021. - Gambar Bernama

 

KUALA LUMPUR 23 Okt - Walaupun pengambilan dos penggalak dibuat secara sukarela, namun adalah bagus bagi mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan seperti dari segi umur melebihi 60 tahun dan komorbiditi untuk mengambilnya.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri memang menantikan untuk mengambil dos penggalak kerana insiatif ini adalah langkah yang terbaik untuk mendapat perlindungan daripada COVID-19.

 

“Saya berharap mereka yang memperoleh temujanji di MySejahtera dapat hadir untuk mendapatkan dos penggalak,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksian (PPV) Axiata Arena di sini hari ini.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu dengan Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi individu terawal menerima suntikan dos pertama.

 

Bekas perdana menteri itu berkata, pemberian dos penggalak itu berjalan lancar dan beliau juga tidak dalam keadaan sihat dan tidak berasa apa-apa kesan akibat suntikan itu.

 

Katanya, beliau bersetuju menerima suntikan itu seperti mana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperoleh tempoh perlindungan optimum.

 

“Apabila ada dos penggalak akan meningkatkan lagi pertahanan badan kepada virus ini. Sehinngga ini saya diberitahu 66,672 individu telah menerima dos penggalak setakat ini.

 

“Di Lembah Klang roll out temujanji dikeluarkan sejak semalam dan dijangkakan pemberian dos penggalak dapat dijalankan selewat-lewatnya pada 27 Oktober,” katanya.

 

Muhyiddin berkata, insiatif PICK adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan setelah 94% populasi dewasa lengkap divaksin, malah kebanyakan negeri sudah beralih ke Fasa 4 PPN.

 

“Malaysia, Insya-Allah dapat kembali ke situasi lebih baik. Bukan sahaja dalam pengurusan pandemik tetapi juga untuk ekonomi negara.

 

“Sebagai Pengerusi MPN, saya merasakan perkara ini perlu dilakukan segera supaya ekonomi kita jadi lebih rencak, pembukaan sektor sosial, sukan akan kembali seperti sedia kala.

 

“Walaupun begitu, kita perlu kekal patuhi SOP seperti diingatkan memandangkan perkembangan semasa di luar negara yang perlu dijadikan iktibar,” ujarnya. - DagangNews.com