AME REIT rancang ambil alih portfolio hartanah perindustrian di Selangor, Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

AME REIT rancang ambil alih portfolio hartanah perindustrian di Selangor, Pulau Pinang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Ogos - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) yang bakal disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 20 September ini merancang untuk mengembangkan portfolionya melangkaui Johor hingga ke bahagian tengah dan utara Semenanjung Malaysia dengan meneruskan perolehan aset daripada vendor pihak ketiga.

 

Ini adalah tambahan kepada AME REIT yang memanfaatkan projek pembangunan hartanah masa depan penajanya, AME Elite Consortium Bhd. sebagai sumber sedia untuk hartanah industri penyewa berkualiti tinggi, asrama pekerja dan gudang.

 

Selain membangunkan projek sedia ada di Johor, AME Elite juga giat membangunkan taman perindustrian di tengah dan utara Semenanjung Malaysia, yang membawa kepada pemerolehan berpotensi AME REIT.

 

Pengerusi dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn. Bhd. (syarikat pengurusan AME REIT), Simon Lee Sai Boon berkata, zon ekonomi utama seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang mampu menarik pelaburan langsung asing. 

 

Katanya, mandat untuk memperoleh hartanah pihak ketiga di luar Johor memberikan AME REIT fleksibiliti dan peluang untuk meluaskan jangkauan amanah hartanahnya bagi menjana aliran tunai yang stabil dan potensi pendapatan dan pertumbuhan modal jangka panjang.

 

"Di samping itu, kami dapat menggunakan penjenamaan dan hasrat syarikat penaja kami untuk membawakan konsep taman perindustrian terurus mereka di tengah dan utara Semenanjung Malaysia.

 

"Secara dalaman, strategi pengurusan aset proaktif kami, yang menumpukan kepada mengoptimumkan dan mengekalkan kadar penghunian yang tinggi, bertujuan untuk mencapai pertumbuhan sewa yang stabil dan memaksimumkan pulangan pelaburan," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) AME REIT di Papan Utama Bursa Malaysia hari ini.

 

 

ame reit
AME REIT melancarkan prospektus tawaran awam permulaan bagi penyenaraiannya di Bursa Malaysia, 20 September ini. 

 

 

AME REIT mempunyai portfolio awal 34 hartanah berkaitan perindustrian di Iskandar Malaysia, Johor, bernilai RM557 juta.

 

Hartanah perindustrian dan asrama ini masing-masing disewa sepenuhnya pada 15 Jun dan 15 Julai 2022, sekali gus memberikan aliran tunai yang stabil.

 

Selepas penyenaraiannya kelak, AME REIT mempunyai ruang utama hutang yang mencukupi sehingga kira-kira RM240.8 juta untuk meneruskan potensi pengambilalihan, berdasarkan had yang ditetapkan sebanyak 50% daripada jumlah nilai aset.

 

Penyata kedudukan kewangan pro forma AME REIT akan mempunyai jumlah keberhutangan kira-kira RM46.5 juta, mewakili kira-kira 8.1% daripada anggaran jumlah nilai asetnya sebanyak RM574.5 juta.

 

Menurut Sai Boon, prospek bagi hartanah perindustrian kekal positif, dengan permintaan yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), logistik dan e-dagang.

 

"Sehubungan itu, kami optimis dengan prospek masa depan AME REIT," katanya. - DagangNews.com