AmInvestent semak turun KDNK 2021, jangka pemulihan pada 2022 di sebalik kebimbangan varian baharu COVID-19 | DagangNews Skip to main content

AmInvestent semak turun KDNK 2021, jangka pemulihan pada 2022 di sebalik kebimbangan varian baharu COVID-19

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.4% tahun ini di sebalik kebimbangan varian baharu COVID-19 yang boleh menjejaskan usaha terhadap pemulihan ekonomi, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Firma tersebut bagaimanapun menyemak turun anggaran KDNK pada 2021 kepada 3.4% berbanding sebelum ini, antara 5.5 hingga 6% disebabkan impak varian Delta yang menyaksikan Malaysia melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

 

Pada 2020, ekonomi negara menguncup -5.6% akibat pandemik COVID-19, terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1997. 

 

Dalam laporan tematik yang dikeluarkan hari ini, AmInvestment berkata, berikutan cabaran yang dihadapi pada 2021 sehingga pertumbuhan ekonomi diunjur berkembang lebih rendah pada 3.5%, ia dijangka kembali pulih pada tahun ini. 

 

"Walaupun asas rendah pada 2021, tetapi momentum pertumbuhan 2022 disokong oleh dorongan positif daripada liputan vaksin COVID-19 yang tinggi dan pelancaran dos penggalak secara berterusan.

 

"Ini menyebabkan langkah-langkah yang kurang ketat dilaksanakan sejak Julai 2021 yang menyaksikan pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi tanpa risiko penutupan selanjutnya," katanya dalam laporan tersebut hari ini.

 

 

covid
KDNK 2021 terjejas akibat langkah sekatan yang sekatan yang ketat hingga menjejaskan ekonomi.

 

 

Impak PKP 

 

Namun, menurutnya, ekonomi global dan pasaran kewangan akan kekal tidak menentu disebabkan Omicron atau varian baharu walaupun ia mungkin tidak menyebabkan penyakit yang teruk.

 

Apatah lagi, katanya, varian terbaharu menyaksikan beberapa negara memulakan langkah sekatan, terutama negara yang mempunyai dasar sifar COVID-19 seperti China.

 

"Jika Malaysia melaksanakan sekali lagi sekatan seperti PKP 3.0, ia pastinya akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi.

 

"Dengan asas yang rendah, sebarang langkah sekatan yang ketat, akan menyebabkan risiko yang tinggi kepada penurunan sasaran pertumbuhan KDNK bagi tahun ini," jelasnya. 

 

AmInvestment berkata, keyakinan perniagaan dan isi rumah akan terhakis memandangkan mereka masih bergelut untuk terus bertahan. 

 

"Sejauh mana kesannya kepada ekonomi bergantung kepada langkah sekatan yang dilaksanakan. Ini akan menyaksikan pertumbuhan KDNK dikurangkan antara 1 hingga 3%," tambahnya.

 

Firma itu turut menjangkakan gangguan rantaian bekalan akan kekal seterusnya tahun ini dan menyebabkan tekanan kepada harga. 

 

Selain itu, kos logistik dan penghantaran juga akan melambung tinggi di samping faktor-faktor lain seperti masalah kekurangan tenaga buruh, kos input yang lebih tinggi, perubahan iklim dan bencana alam akan terus memberi tekanan kepada harga bahan api. 

 

"Dalam persekitaran semasa yang sudah terjejas akibat pandemik dan kemudiannya banjir baru-baru ini, kuasa perbelanjaan isi rumah yang terkesan akan terus lemah. 

 

"Risiko bankrap yang semakin meningkat, pinjaman tidak berbayar dan tahap pinjaman yang lebih tinggi daripada 'pemberi pinjaman wang' akan memberi tekanan terhadap ekonomi melalui perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan yang lebih lemah," katanya. 

 

Pada 2020, ia mendapati tambahan sebanyak 12.5% isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500. 
Pendapatan isi rumah M40 antara RM4,850 hingga RM10,959 pula menyaksikan sebanyak 20% daripada kategori ini jatuh dalam kumpulan B40 manakala sebanyak 12.8% daripada kumpulan T20 turut jatuh dalam kategori M40.

 

Ini menyaksikan jumlah isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 pada 2020 berbanding 405,400 pada 2019.

 

mof
Kutipan cukai boleh terjejas sekiranya ekonomi menunjukkan prestasi di bawah jangkaan

 

 

Pelaksanaan cukai


Menurut AmInvestment, sebarang cadangan perubahan dasar termasuk cukai akan memberi kesan yang kekal dan sementara kepada bekalan dan permintaan.

 

Malah, katanya, ia turut memberi kesan kepada sentimen pasaran terhadap individu, syarikat dan para pelabur.

 

"Pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa (Cukai Makmur) pada kadar 33% ke atas syarikat yang merekodkan pendapatan melebihi RM100 juta akan menyebabkan risiko penurunan kepada pendapatan korporat pada 2022 dan mengurangkan bayaran dividen disebabkan cukai yang lebih tinggi.

 

"Ini berlaku di tengah-tengah perniagaan yang masih menghadapi cabaran untuk menguruskan tekanan kos yang semakin meningkat walaupun mereka sedang pulih," jelasnya.

 

Firma itu berkata, kutipan cukai boleh terjejas sekiranya ekonomi menunjukkan prestasi di bawah jangkaan dan boleh mencetuskan risiko penurunan oleh agensi penarafan antarabangsa.

 

Tambahnya, pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan boleh menjejaskan keupayaan untuk mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 6% daripada KDNK pada 2022 daripada -6.5% daripada KDNK pada 2021. 

 

"Kami kekal rapuh terhadap cabaran persekitaran luaran dan domestik dari segi pelaksanaan dasar dan kemajuan yang dicapai, dan pelaburan langsung asing (FDI) yang menarik termasuk kadar pelaksanaan dan projek diluluskan. 

 

"Dalam keadaan sedemikian, ia boleh menjejaskan sasaran pendapatan semasa. Hasil berkaitan minyak berdasarkan anggaran purata harga minyak adalah AS$66 setong bagi tahun ini berbanding paras semasa AS$70 setong," tambahnya.

 

 

bnm
Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan kadar faedah tahun ini.

 


Jangkaan kenaikan OPR

 

AmInvestment menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menyemak semula kadar dasar semalaman (OPR) kira-kira 1 hingga 2 kali tahun ini bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia sekitar 175 hingga 225 mata asas (bps). 

 

Katanya, momentum pertumbuhan ekonomi, kenaikan inflasi dan perbezaan kadar faedah akan menjadi antara faktor utama yang menyokong kenaikan kadar ini. 

 

"Ini akan menyaksikan kos pinjaman pada 1.75% dan 2%. Kenaikan pertama dijangka pada Julai dan seterusnya pada November. 

 

"Kami jangkakan BNM akan terus menaikkan kadar faedah pada 2023 dan 2024 sehingg ia mencecah 3.00% dan 3.50%," katanya. 

 

 

ringgit
Ringgit dijangka berdepan tekanan jualan pada separuh pertama 2022.

 

 

Prospek ringgit

 

Dalam pada itu, mengenai prospek ringgit pula, firma tersebut menjangkakan ia terus berdepan cabaran luaran dan dalaman. 

 

Meskipun julat dagangan jangka panjang adalah antara RM3.80 hingga RM4.50 berbanding dolar AS, tetapi terdapat risiko kenaikan dalam separuh pertama 2022 dan beberapa penarikan semula pada separuh kedua.

 

"Tekanan jualan terhadap ringgit dijangka pada separuh pertama dan itu boleh menyaksikan ringgit mencapai paras RM4.25 dan mungkin mencecah RM4.30. Risiko kenaikan ini akan didorong oleh gabungan faktor luaran dan domestik," katanya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, risiko kenaikan bagi ringgi akan dibendung dengan jangkaan bahawa ekonomi domestik akan kekal terbuka untuk sebahagian besar pada tahun ini.

 

Katanya, ini turut disokong oleh harga minyak mentah yang kukuh, kelemahan yuan China secara beransur-ansur, persekitaran pandemik yang lebih stabil, kejelasan dasar dan pelaksanaan serta hasil yang lebih baik.

 

"Jangkaan adalah mata wang tempatan pada separuh kedua akan berundur daripada arah aliran lemahnya untuk berlegar di sekitar paras RM4.20 dalam tempoh tersebut," jelas firma tersebut. - DagangNews.com