AmInvestment kekal 'jual' saham Sapura Energy di sebalik pelan penstrukturan hutang | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal 'jual' saham Sapura Energy di sebalik pelan penstrukturan hutang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan saham Sapura Energy Bhd. dengan saranan 'jual' pada nilai wajar 3 sen berikutan prospek kumpulan yang masih lemah. 

 

Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur semalam telah meluluskan permohonan Sapura Energy dan 22 anak syarikat milik penuhnya, untuk mendapatkan Perintah di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat 2016.

 

Perintah ini merupakan kebenaran untuk berunding dengan pemiutang mengenai cadangan skim pengaturan dan Perintah Penyekatan untuk menangguhkan sebarang prosiding undang-undang terhadapnya.

 

Ia membolehkan Sapura Energy menyusun semula struktur modal dan meletakkannya pada kedudukan yang mampan. 

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Oktober 2021, Sapura Energy merekodkan kerugian RM2.3 bilion manakala hutang kasarnya berjumlah RM10.7 bilion dengan tunai hanya RM590 juta bagi tempoh itu, mencerminkan tahap gearan bersih yang tinggi pada 1.5x.

 

Penganalisis AmInvestment, Alex Goh berkata, sekiranya tiada perolehan kontrak baharu pada suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY22) yang substantif, baki nilai projek kumpulan terus susut sebanyak 32% bagi suku ke suku kepada RM7.6 bilion.

 

"Ini diterjemahkan kepada pendapatan 1.5x FY22 yang rendah dan tidak selesa memandangkan krisis kecairan semasa kumpulan, yang mana pembekal berhati-hati untuk melanjutkan kredit dengan pemiutang dagangan Sapura Energy meningkat sebanyak 24% kepada RM3.3 bilion daripada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21).

 

"Tambahan pula, Sapura Energy mungkin tidak mempunyai kapasiti kewangan untuk mengambil kontrak baharu berikutan pelan penstrukturan semula hutangnya manakala penyerahan bidaan menurun sebanyak 37% suku ke suku kepada RM22 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Masalah kewangan Sapura Energy hanya beri kesan minimum kepada PNB

 

Firma tersebut sebelum ini berpandangan landskap operasi Sapura Energy kekal suram susulan ketidaktentuan penghantaran dan margin prospek masa hadapan yang boleh dijangka memandangkan krisis kecairan kumpulan dan peruntukan yang berpotensi lebih tinggi.

 

"Walaupun prospek pemberian kontrak bertambah baik di seluruh dunia dengan persekitaran harga minyak mentah yang lebih tinggi, tetapi kesan pandemik terhadap penyampaian pendapatan Sapura Energy adalah lebih buruk daripada penyedia perkhidmatan lain seperti Dialog Group Bhd. dan Yinson Holdings Bhd. yang beroperasi dalam rantaian nilai berbeza dalam sektor tersebut," jelasnya. 

 

Menurut Goh, harga sahamnya ketika ini diniagakan dengan penilaian 'fire-sale' disebabkan prospek kerugian seterusnya, yang mencerminkan aset ketara bersih (NTA) yang negatif bagi FY23 sebanyak 1.2 sen. 

 

"Sebarang usaha meningkatkan ekuiti akan menjadi sangat cair kepada pemegang saham sedia ada pada harga saham semasa yang terjejas," katanya. 

 

Setakat 11.10 pagi, harga saham Sapura Energy kekal tidak berubah pada 4 sen dengan 5.96 juta saham diniagakan. - DagangNews.com