Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 23 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' ke atas IHH Healthcare Bhd. di sebalik laporan mengenai pelupusan unitnya di China.
Malah, firma itu juga tidak membuat perubahan kepada nilai wajar pada RM6.29, dengan penilaian berdasarkan kepada kos purata wajaran modal (WACC) 7% dan kadar pertumbuhan terminal sebanyak 3.5%.
Berdasarkan laporan Bloomberg, IHH dilaporkan sedang mempertimbangkan jualan unitnya itu menerusi Parkway China dengan nilai mencecah AS$1 bilion.
Dengan memetik sumber, Taikang Insurance Group dan Shanghai Hongxin Medical Investment Holding Co. juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil bahagian dalam penjualan tersebut.
Taikang ialah pemegang saham minoriti dalam portfolio firma Malaysia di China manakala Shanghai Hongxin memegang kepentingan dalam salah satu hospitalnya.
Penganalisis AmInvestment, Alan Lim Seong Chun berkata, segmen di China itu menyumbang pendapatan daripada RM259.2 juta pada tahun kewangan 2016 (FY16) kepada RM662.4 juta bagi FY2020.
Kerugian pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula berjumlah RM27.9 juta pada FY16 dan semakin memburuk kepada RM252 juta pada FY17.
"Bagaimanapun, ia semakin bertambah baik dengan kerugian EBITDA semakin mengecil kepada RM208.7 juta pada FY18, RM175.5 juta (FY19) dan RM146.5 juta (FY2020).
"Pada separuh pertama 2021, pendapatan daripada unit China ini meningkat 44% kepada RM406.2 juta.
"Hasilnya, kerugian EBITDA menyusut kepada RM50.1 juta daripada RM115 juta pada separuh pertama 2020," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, Parkway China membuka pusat perubatan pertama di Shanghai pada 2006. Ia memperoleh klinik pergigian dan perubatan World Link Group pada 2007 dan mempunyai kemudahan di Shanghai, Suzhou dan Chengdu.
Parkway menyediakan penjagaan pesakit luar dan dalam untuk orang dewasa dan kanak-kanak dengan lebih 40 kepakaran seperti kardiologi, psikiatri, pengurusan tekanan dan akupunktur tradisional masyarakat Cina.
Bagaimanapun, AmInvestment menyedari segmen itu termasuk ParkwayHealth Central Hong Kong Medical Center yang mana Bloomberg merujuk sebagai 'unit China'.
"Oleh itu, kami neutral dengan laporan ini sementara menantikan pengumuman rasmi dan penilaian bagi jualan Parkway Pantai China (jika ia direalisasikan).
"Harga saham IHH juga menunjukkan prestasi yang baik tahun ini dengan keuntungan setakat ini sebanyak 20% kepada RM7.20 (daripada RM5.50).
"Ini disokong dengan pertumbuhan EBITDA yang kukuh pada separuh pertama 2021 sebanyak 107% kepada RM2.07 bilion," jelasnya.
Setakat 10.10 pagi ini, saham IHH menokok 2 sen atau 0.3% kepada RM6.64 dengan 1.3 juta saham diniagakan. - DagangNews.com