AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap MBSB dengan harga sasaran 78 sen | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap MBSB dengan harga sasaran 78 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dengan harga sasaran dinilai lebih rendah kepada 78 sen daripada 93 sen sesaham sebelum ini. 

 

Sejajar dengan semakan tersebut, ia mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 18%, 16% dan 4% selepas menaikkan anggaran kos kredit.

 

Menurut firma itu, pendapatan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 adalah di bawah jangkaannya, hanya merangkumi 30% daripada unjurannya bagi untung bersih FY22 dan 39% daripada konsensus.

 

"Perbezaan kepada anggaran kami disebabkan terutamanya elaun yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk potensi kerugian kredit," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MBSB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM142.29 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM403.41 juta dengan pendapatan menurun kepada RM656.27 juta daripada RM664.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan merekodkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi berbanding suku kedua 2021, kebanyakannya disebabkan peningkatan dalam perbelanjaan kakitangan dan kos penubuhan seperti susut nilai ibu pejabat baharu dan penyelenggaraan perisian atau perkakasan yang lebih tinggi.

 

Jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaannya meningkat 1.8% kepada RM36.8 bilion pada 30 Jun 2022, disumbangkan kebanyakannya oleh pertumbuhan pembiayaan hartanah dalam segmen pengguna dan perniagaan perdagangan dalam segmen korporat manakala jumlah deposit berjumlah RM33 bilion.

 

AmInvestment berkata, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas setakat ini dan jangkaan kenaikan seterusnya sehingga akhir tahun ini, dijangka memberi sedikit peningkatan kepada margin untung bersih MBSB.

 

Setakat 11.31 tengah hari ini, harga saham MBSB susut 1 sen atau 1.69% kepada 58 sen dengan 2.82 juta saham diniagakan. - DagangNews.com