AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson dengan FV RM3.89 sesaham | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson dengan FV RM3.89 sesaham

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Yinson Holdings Berhad dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM3.89 sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas pertama yang melabur secara proaktif dalam aset tenaga boleh diperbaharui.

 

Firma itu menaikkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY23-FY24 antara 5-6% selepas mengambil kira kemajuan yang lebih pantas untuk penukaran pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) untuk Maria Quiteria dan Atlanta.

 

Katanya, perkara itu bagaimanapun diimbangi oleh peningkatan kos kewangan.

 

"Kami juga memperhalusi pendapatan FY25 bagi mencerminkan andaian penyiapan projek untuk dua buah kapal pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Yinson bagi suku ketiga meningkat kepada RM155 juta

 

Firma itu berkata, FPSO Anna Nery berjaya melengkapkan kerja penyepaduan dan pentauliahan terakhirnya baru-baru ini dan kini sedang dalam perjalanan ke padang Marlim Petrobras di lembangan Campos di Brazil.

 

Katanya, kapal itu berada di landasan untuk mencapai pengeluaran minyak pertama dalam 1QCY23, membuka laluan untuk meraih pendapatan daripada sewa.

 

Firma itu berkata, selain kontrak piagam akhir untuk projek Agogo, terdapat beberapa projek yang akan direbut.

 

"Kami percaya bahawa Yinson mempunyai peluang yang baik untuk memenangi beberapa projek termasuk projek Albacora Petrobras di Brazil, projek Maka TotalEnergies di Suriname dan Blok 31 SE-PAJ BP di Angola," katanya. - DagangNews.com