KUALA LUMPUR 28 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap Pecca Group Bhd. dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada RM1.65 berbanding RM1.99 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan.
Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 sebanyak 14% selepas mengambil kira anggaran margin dan jualan yang lebih rendah.
Penilaian FV adalah berdasarkan kepada sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 13x daripada pendapatan FY23 yang disemak semula (daripada FY22).
"Ini berikutan prestasi kewangannya bagi separuh pertama berakhir 31 Disember 2021 yang merekodkan untung bersih teras sebanyak RM6.5 juta adalah di bawah jangkaan kami dan konsensus, pada 28% daripada unjuran penuh tahunan.
"Kejutan negatif ini terutamanya disebabkan jualan lebih rendah berbanding jangkaan daripada permintaan terpendam dan margin keuntungan kasar yang lemah," jelas penganalisisnya, Muhammad Afif Zulkaplly dalam nota kajian hari ini.
Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, Pecca mencatatkan pendapatan sebanyak RM67.99 juta berbanding RM72.61 juta pada tahun sebelumnya.
Segmen Automotif menyumbang RM56.41 juta, manakala segmen Penjagaan Kesihatan dan Penerbangan masing-masing menghasilkan RM11.3 juta dan RM280,000.
Baca : Perolehan Pecca meningkat didorong permintaan sektor automotif
Keuntungan bersih bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM6.51 juta, berbanding RM11.15 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Asas kumpulan terjejas oleh prestasi yang lebih lemah pada suku pertama berikutan sekatan perjalanan secara keseluruhan yang dilaksanakan kerajaan dari Jun hingga pertengahan Ogos 2021, yang mana menyebabkan bahagian upholsteri kulit ditutup buat sementara waktu.
Muhammad Afif berkata, bagaimanapun, prospek Pecca dalam tempoh terdekat dilihat positif terutamanya dengan pengecualian cukai jualan (sehingga Jun 2022) yang akan meningkatkan permintaan pelanggan bagi kenderaan.
Selain itu, katanya, ia juga didorong pertumbuhan stabil Proton dan penguasaan Perodua dalam sektor automotif domestik.
"Tetapi, pada masa sama, kami percaya penilaiannya adalah berlebihan dan mendahului asas pendapatan pada 29.6 hingga 25.6x pendapatan FY22 hingga FY23," jelasnya.
Setakat 11.18 pagi ini, saham Pecca menokok 3 sen atau 0.92% kepada RM3.29 dengan 3,000 saham diniagakan. - DagangNews.com