AmInvestment mulakan liputan terhadap Glomac dengan sasaran 'beli', FV 39 sen | DagangNews Skip to main content

AmInvestment mulakan liputan terhadap Glomac dengan sasaran 'beli', FV 39 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - AmInvestment Bank Berhad memulakan liputan terhadap Glomac Berhad dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV) 39 sen sesaham.

 

Glomac merupakan pemaju perbandaran dengan sebahagian besar projeknya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur (KL) selain turut memiliki dua projek perbandaran mampu milik di Johor yang dikenali sebagai Sri Saujana dan Saujana Jaya.

 

Firma itu berkata, sehingga April 2022, Glomac memiliki lapan projek yang sedang berlangsung yang menyumbang kepada jumlah baki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.7 bilion di seluruh Selangor (90%) dan Johor (10%). 

 

"Glomac lebih tertumpu kepada projek perbandaran dengan rumah teres dan kebanyakannya berharga di bawah RM550,000 manakala perumahan kecil dan sederhana berkeluasan 450 hingga 750 kaki persegi juga ditawarkan pada harga mampu milik.

 

"Projek di Johor mendapat sambutan yang baik iaitu 98% di Sri Saujana dan Saujana Jaya sebanyak 88% kerana kebanyakan prumahan kumpulan itu di negeri itu adalah mampu milik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dari suku ke suku, hasil 4QFY22 kumpulan merosot 10% disebabkan pengebilan kemajuan yang lebih perlahan akibat daripada kekurangan tenaga kerja seluruh industri.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih terasnya (CNP) melonjak 88%, disebabkan margin keuntungan yang lebih tinggi daripada penjimatan kos projek yang hampir siap.

 

"Didorong oleh pemulihan dalam permintaan hartanah dan penyambungan semula aktiviti pembinaan selepas penutupan akibat pandemik, CNP Glomac dijangka berkembang sebanyak 10% kepada RM40 juta pada FY23, 6% kepada RM43 juta pada FY24 dan 9% kepada RM47 juta pada FY25," katanya.

 

Firma itu menyukai Glomac kerana ia memiliki produk yang menarik dengan pemilikan lebih 90% dan kebanyakan projek mereka lebih banyak bertumpu di Lembang Klang dan Kuala Lumpur. - DagangNews.com