AmInvestment 'neutral' terhadap cadangan PNB jual saham dalam IHH | DagangNews Skip to main content

AmInvestment 'neutral' terhadap cadangan PNB jual saham dalam IHH

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Okt. - AmInvestment Bank Research 'neutral' terhadap cadangan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) untuk menjual sebahagian saham dalam IHH Healthcare Bhd. 

 

Firma itu bagaimanapun menantikan pengumuman rasmi mengenai langkah penempatan ini (jika direalisasikan). 

 

"Saham IHH pula menyaksikan prestasi yang baik tahun ini dengan setakat ini meningkat 22% kepada RM6.72 (berbanding RM5.50 sebelum ini).

 

"Ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang mantap pada separuh pertama 2021, melonjak sehingga 107% kepada RM2.07 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, The Edge Malaysia edisi mingguan yang memetik beberapa sumber rapat kepada perkara itu melaporkan PNB bercadang untuk melepaskan sebahagian saham dalam IHH. 

 

Berdasarkan Laporan Tahunan 2020, PNB (menerusi pelbagai dana dan anak syarikat) memiliki sekitar 5.5% pegangan dalam kumpulan hospital itu.

 

Tiga pemegang saham utamanya adalah Mitsui & Co Ltd (32.90%), Khazanah Nasional Bhd. (25.81%) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (8.3%) setakat 31 Mac 2021.  

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham IHH dengan nilai saksama tidak berubah pada RM6.29 sesaham. 

 

"Mengenai prospek suku ketiga ini, kami melihat pendapatan akan menyusut suku ke suku dan menjangkakan pendapatan lebih rendah menerusi IHH Laboratory. 

 

"Ini disebabkan kes jangkitan baharu di India berkurangan kepada 20,000 kes pada September setelah mencecah sehingga 400,000 kes pada Mei.

 

"Keadaan ini akan menyaksikan hasil IHH Laboratory yang lebih rendah pada suku ketiga disebabkan kurangnya ujian COVID-19," katanya. 

 

IHH Laboratory menjana perolehan sebanyak RM975 juta pada separuh pertama. India mempunyai jumlah makmal yang tinggi lebih 420 (merangkumi 87% daripada 483 makmal di 4 pasaran utamanya). 

 

"Walaupun jumlah pembedahan elektif mungkin meningkat pada suku ketiga, tetapi kami menjangkakan ia tidak cukup untuk mengimbangi kesan daripada pendapatan menerusi ujian makmal yang lebih rendah," jelasnya. 

 

Setakat 10.40 pagi ini, saham IHH menokok 6 sen atau 0.89% kepada RM6.78 dengan 651,900 saham diniagakan. - DagangNews.com