Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov - AmInvestment Bank positif terhadap strategi Sime Darby Property bagi mengewangkan bank tanah perindustriannya di Malaysia Vision Valley (MVV) pada keuntungan yang lumayan.
Firma penganalisis itu berkata, selain daripada penjualan tanah, produk perindustrian di Hamilton, MVV diterima baik dengan lebih 80% kadar pengambilan pada suku kedua 2021 sejak dilancarkan pada Jun tahun ini.
"Kami mengekalkan saranan 'Pegang' kepada Sime Darby Property dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak RM0.67/saham," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Semalam Ajiya Bhd mengumumkan anak syarikatnya Asia Roofing Industries Sdn Bhd (ARI) dan Ajiya Safety Glass Sdn Bhd (ASG) telah menandatangani dua Perjanjian Jual Beli dengan Sime Darby Property (Nilai) Sdn. Bhd. bagi pembelian dua petak tanah perindustrian dengan pertimbangan tunai berjumlah RM34.47 juta.
AmInvestment berkata, penjualan tanah kepada ARI dan ASG dengan pertimbangan tunai RM34.5 juta boleh menjana keuntungan bersih sebanyak RM22 juta bagi Sime Darby.
"Ini boleh meningkatkan keuntungan bersih teras tahun kewangan penuh 2023 sebanyak 6% memandangkan anggaran tempoh penyelesaian adalah 2 tahun dari sekarang," katanya.
Dalam pada itu firma penganalisis itu berkata, pelaksanaan Cukai Makmur yang diumumkan pada Bajet 2022 tidak akan menyebabkan impak yang ketara kepada pendapatan kumpulan.
"Ini kerana keuntungan sebelum cukai setiap anak syarikat adalah di bawah ambang yang dikenakan cukai," katanya. -DagangNews.Com