AmInvestment semak naik unjuran pendapat Dialog Group antara 3%-5% bagi FY23-FY25 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak naik unjuran pendapat Dialog Group antara 3%-5% bagi FY23-FY25

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - AmInvestment Bank Research menyemak naik ujuran pendapatan Dialog Group Berhad sebanyak 3%-5% bagi FY23-FY25 selepas mengambil kira sumbangan pendapatan tambahan daripada Pan Orient Energy Corporation (POEC).

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasakan jangkaan kumpulan itu akan menerima sumbangan daripada POEC bagi 1QFY23 pada pertengahan November 2022.

 

Terdahulu, Dialog mengambil alih syarikat minyak tersenarai Kanada itu dengan pertimbangan tunai AS$38.7 juta (RM170 juta) pada awal Jun 2022.

 

Melalui POEC, Dialog secara berkesan memperoleh 50% kepentingan dalam Pan Orient Energy (Siam) (POES), yang merupakan pengendali Konsesi darat L53/48 di Thailand.

 

Selepas selesai pengambilalihan pada Ogos 2022, Sea Oil yang tersenarai di Thailand akan mengekalkan baki 50% daripada pegangan ekuiti konsesi.

 

"Konsesi itu mempunyai purata 1,115 tong minyak sehari (bopd) dan merealisasikan purata harga minyak sebanyak AS$140 (RM663.74) setong dalam 1HCY22, dengan rancangan untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran pada masa hadapan menerusi telaga baharu.

 

"Ia akan memberikan sumbangan pendapatan serta-merta daripada aset berkenaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam perkembangan berasingan, firma itu berkata, kumpulan itu mungkin melihat pertumbuhan yang lebih tinggi daripada kontrak perkhidmatan medan minyak (OSC) Bayan sedia ada kerana projek pembangunan semula gas Bayan fasa 2, luar pesisir Sarawak secara beransur-ansur menuju ke arah mencapai pengeluaran gas pertama.

 

Berdasarkan terma kontrak semasa, Dialog secara amnya menyediakan perkhidmatan pemulihan minyak yang dipertingkatkan dan akan diberi imbuhan dengan bahagian keuntungan sekiranya medan minyak Bayan mencapai jumlah pengeluaran melebihi nilai yang telah dipersetujui.

 

"Dengan kapasiti pemprosesan gas berpandu sebanyak 100 juta kaki padu sehari serta andaian kadar penggunaan sebanyak 50% untuk platform gas, kami menganggarkan bahawa projek gas Bayan fasa 2 boleh meningkatkan pengeluaran gas medan minyak Bayan dengan tambahan 50 juta kaki padu sehari," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar RM3.58 sesaham. - DagangNews.com