AmInvestment semak turun penarafan Globetronic Technology kepada 'pegang' FV RM1.53 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak turun penarafan Globetronic Technology kepada 'pegang' FV RM1.53

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - AmInvestment Bank Berhad menyemak turun penarafan Globetronics Technology (GT) kepada 'pegang' berbanding 'beli' dengan nilai wajar (FV) RM1.53 berbanding RM1.63 sebelum ini.

 

Firma itu berkata, sasaran gandaan harga kepada pendapatan (PE) mewakili purata tiga tahun PE kumpulan itu dengan diskaun 10% bagi penyumberan luar pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) sebanyak 20x memandangkan modal pasaran GT yang lebih kecil dan prospek pertumbuhan yang lebih rendah.

 

"Bagaimanapun, kami mengurangkan sasaran pendapatan bagi FY22F–FY24F sebanyak 6% hingga 25% dengan keuntungan teras kumpulan itu sebanyak RM9 juta bagi 1QFY22 adalah di bawah jangkaan dan hanya menyumbang 15% daripada anggaran FY22F terdahulu serta 17% daripada konsensus. 

 

"Sebagai perbandingan, 1Q menyumbang 23% daripada pendapatan teras FY21.

 

"Unjuran keuntungan yang lebih rendah adalah disebabkan oleh andaian kami bahawa kadar cukai berkesan kumpulan akan disambung semula pada 24% (daripada 6%) selepas tamat tempoh status perintisnya pada Jun 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pendapatan Asia Tenggara menyumbang 97% kepada pendapatan keseluruhan kumpulan bagi 1QFY22, penurunan sebanyak 22% dari tahun ke tahun kepada RM41 juta dan ia dipengaruhi jumlah pemuatan yang lebih rendah daripada pelanggan utamanya dalam perniagaan penderia.

 

Keuntungan teras kumpulan itu juga menurun sebanyak 45% daripada suku ke suku kepada RM9 juta dengan jumlah pemuatan daripada pelanggan utama yang menjejaskan prestasi suku tahun GT.

 

"Pertumbuhan bagi segmen penderia utama kumpula sebelum ini menyumbang lebih daripada 60% pendapatan kumpulan, dijangka kekal perlahan sehingga 1HFY22 kerana pelanggan utama masih terkesan dengan gangguan rantaian bekalan yang berterusan," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki beberapa projek pada masa akan datang termasuk penderia generasi akan datang bagi sistem bantuan pemandu lanjutan di dalam kenderaan dan sistem robotik.

 

"Bagaimanapun, mereka tidak menjangkakan produk baharu akan dikomersialkan sehingga penghujung 2022," katanya. - DagangNews.com