AmInvestment semak turun pendapatan FY24 Globetronics 45.9% kesan pemulihan pesanan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak turun pendapatan FY24 Globetronics 45.9% kesan pemulihan pesanan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan Globetronics Technology Bhd sebanyak 45.9% bagi FY24 selepas mengambil kira pemulihan pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Katanya, prospek jangka pendek untuk perniagaan sedia adanya kekal perlahan kerana pihak pengurusan menjangkakan pemuatan volum yang lemah daripada pelanggan utama dalam tempoh dua suku akan datang. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan kilang dijangka kekal di bawah 70% untuk tahun ini.

 

"Pengurusan memberi panduan bahawa nisbah pembayaran dividen akan dikekalkan antara 20% hingga 30% daripada keuntungan bersih kerana syarikat akan menjimatkan wang tunai untuk rancangan pengembangan masa depan. 

 

"Bagi FY24, syarikat memperuntukkan RM45 juta untuk peningkatan kapasiti dan keupayaan untuk segmen baharu seperti komponen perubatan, rangkaian/komunikasi dan automotive," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, melangkah ke hadapan, pengurusan telah menetapkan perbelanjaan modal yang agresif kerana syarikat sedang mengusahakan projek baharu yang termasuk pembungkusan memori dan penderia cahaya untuk segmen automotif. 

 

Katanya, pengurusan juga berkongsi bahawa syarikat itu merancang meningkatkan rantaian nilai dengan menerokai pembungkusan termaju untuk sistem fotonik silikon.

 

"Sumbangan daripada projek baharu itu bagaimanapun hanya akan ditunjukkan mulai FY25 dan seterusnya. 

 

"Kami percaya ramalan pendapatan yang disemak semula mengambil kira potensi pendapatan daripada segmen baharu dengan secukupnya, yang sebahagiannya menyumbang kepada penggandaan hasil FY25.

 

"Dengan lebih banyak pelaburan dibelanjakan untuk projek baharu ini, profil margin Globetronics dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dijangka dicairkan kerana kos tempoh tunggu hasil daripada pengembangan akan ditanggung untuk memacu pertumbuhan masa hadapan," katanya. - DagangNews.com