AmInvestment unjur import menjadi lemah akibat perbezaan harga ketara minyak sawit mentah Malaysia, Indonesia | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur import menjadi lemah akibat perbezaan harga ketara minyak sawit mentah Malaysia, Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengunjurkan import akan menjadi lemah disebabkan perbezaan harga yang semakin ketara antara minyak sawit mentah (MSM) di Malaysia dan Indonesia.

 

Firma itu berkata, Indonesia mengurangkan cukai eksport MSM kepada AS$33 bagi setiap tan pada separuh pertama Jun daripada AS$74 bagi setiap tan pada separuh kedua Mei manakala levi eksport dikurangkan kepada AS$85 bagi satu tan daripada AS$95.

 

"Import sawit meningkat dua kali ganda dari bulan ke bulan kepada 97,079 tan metrik pada Mei.

 

"Jika dibandingkan lima bulan pertama tahun lalu, impot sawit menyusut sebanyak 14.7% dari tahun ke tahun kepada  430,671 tan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, inventori sawit di Malaysia meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan disebabkan oleh permintaan yang lemah dan pemulihan dalam pengeluaran.

 

Stok sawit meningkat kepada 1.7 juta tan pada Mei berbanding 1.5 juta tan pada  April manakala inventori 1.7 juta tan pada Mei melebihi anggaran konsensus Bloomberg sebanyak 1.6 juta tan.

 

Firma itu berkata, di Sarawak, pengeluaran MSM melonjak 25.9% kepada 340,543 tan, selain El Nino, mereka menganggap pengeluaran buah tandan segar (BTS) stabil pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, beberapa syarikat perladangan telah menyatakan bahawa mereka mempunyai pekerja yang mencukupi.

 

Firma itu berkata, penggunaan domestik minyak sawit meningkat sebanyak 4% kepada 346,440 tan pada Mei daripada 333,139 tan pada April.

 

"Penggunaan domestik dipengaruhi oleh jumlah kes COVID-19 yang tinggi pada awal 2022.

 

"Kami percaya bahawa penggunaan domestik akan meningkat disebabkan oleh pengangkutan yang lebih tinggi dan aktiviti HORECA," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan dan kenaikan bekalan global minyak sawit dan kacang soya akan menheadkan kenaikan harga MSM. - DagangNews.com