Anak syarikat AirAsia, Teleport ambil alih Delivereat bernilai RM41.51 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat AirAsia, Teleport ambil alih Delivereat bernilai RM41.51 juta

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - AirAsia Group Berhad menerusi unit logistik digitalnya, Teleport bakal mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam platform penghantaran makanan dalam talian tempatan, Delivereat, pada nilai AS$9.8 juta atau sekitar RM41.51 juta. 

 

Pengambilalihan kepentingan yang telah dimuktamadkan menerusi satu perjanjian antara kedua-dua pihak itu bertujuan mengukuhkan lagi perkhidmatan penghantarannya di negara ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, pengambilalihan itu akan dibayar menerusi gabungan pembayaran tunai dan saham syarikat.

 

"Kami komited sepenuhnya dalam urusan penghantaran apa-apa sahaja dalam masa 24 jam dan dari mana-mana sahaja di pasaran utama, yang menjadi pertaruhan kami bagi apa yang dijangka berlaku pada masa depan dalam industri logistik e-dagang di rantau ini.

 

Pete Chareonwongsak
Pete Chareonwongsak

 

"Itulah sebabnya mengapa kami melabur untuk membawakan ekosistem keupayaan penghantaran bersama-sama agar boleh memadankan penghantaran atas permintaan dengan ketibaan penghantaran hari yang sama secara cekap di dalam negara dan juga rentas sempadan.

 

"Ia bagi menyokong penyedia tempatan, menyediakan nilai terbaik dan plilihan kepada pengguna serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakan penghantaran kami," katanya pada persidangan meja bulat media secara maya, seperti dilapor Bernama.

 

Pembelian itu akan menyediakan peluang bagi Teleport untuk mengembangkan ekosistem logistik uniknya di samping Delivereat, yang membangunkan rangkaian penghantaran meluas serta kompetitif dari segi kos dalam tempoh sembilan tahun lalu.

 

Tambah Chareonwongsak, Teleport mahu melakukannya secepat mungkin, bermula dengan semua bandar raya utama di Malaysia dan di ASEAN.

 

Janji niaga dengan Delivereat itu memberi nilai sebanyak AS$300 juta atau sekitar RM1.27 bilion kepada Teleport dan beliau turut mengalu-alukan penyertaan pelabur utama termasuk firma modal teroka Gobi Partners, sebagai rakan kongsi strategik jangka panjang.

 

Delivereat yang ditubuhkan pada 2012 adalah syarikat pemula niaga tempatan dari Pulau Pinang yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dan ekspres atas permintaan bagi lebih daripada 4,000 peniaga, merangkumi restoran, pasar basah, farmasi dan kedai runcit. - DagangNews.com