Anak syarikat Picorp dapat kontrak bekal pemadat sampah bagi kegunaan jemaah haji di Mina | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Picorp dapat kontrak bekal pemadat sampah bagi kegunaan jemaah haji di Mina

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Progressive Impact Corporation Berhad (Picorp) menerima kontrak daripada KIDANA untuk membekalkan pemadat sampah bawah tanah bagi kegunaan para jemaah di Mina, Arab Saudi.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Picorp berkata, kontrak itu diterima anak syarikatnya, Saudi Asma Environmental Solutions LLC. (Saudi Asma) pada 25 Mac lalu.

 

"Jumlah kontrak adalah material dan akan menyumbang secara positif kepada aset bersih Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

"Walau bagaimanapun, nilai kontrak tidak dapat didedahkan disebabkan oleh perjanjian yang dimeterai antara Saudi Asma dan KIDANA," katanya.

 

Menurut Picorp, kontrak tersebut adalah untuk tempoh 172 hari bermula dari tarikh surat pemberian kontrak.

 

Katanya, kewajipan Saudi Asma di bawah Kontrak tersebut hendaklah melibatkan perolehan, pemasangan, pentauliahan dan penyelenggaraan pemadat sampah bawah tanah di kawasan Mina, Mekah untuk kegunaan para jemaah.

 

"Saudi Asma hendaklah dikehendaki mengemukakan bon prestasi berjumlah 5% daripada jumlah nilai kontrak yang sah untuk keseluruhan tempoh projek dalam tempoh 10 hari dari penerimaan surat pemberian," jelasnya.

 

Jelas Picorp, Saudi Asma ialah sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di bawah undang-undang Kerajaan Arab Saudi pada 25 Januari 2007. 

 

"Saudi Asma terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan awam dan pengurusan alam sekitar," ujarnya.- DagangNews.com