Anak syarikat Straits Energy terima pensijilan ISCC EU, buka jalan teroka perniagaan biofuel marin | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Straits Energy terima pensijilan ISCC EU, buka jalan teroka perniagaan biofuel marin

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Jan - Straits Energy Resources Berhad menerusi anak syarikatnya, Tumpuan Megah Development Sdn Bhd dianugerahkan pensijilan daripada Kesatuan Eropah (EU) di bawah skim International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) yang bakal membuka jalan kepada syarikat meneroka dalam perniagaan biofuel marin dan bunkering pada suku pertama 2024.

 

Perkembangan penting ini berlaku ketika industri maritim sedang mempergiatkan peralihan kepada bahan api alternatif rendah karbon sebagai sebahagian daripada agenda penyahkarbonan global. 

 

Penganugerahan ini juga menyaksikan Tumpuan Megah muncul sebagai pemain industri pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan ISCC EU sebagai pembekal dan peniaga biofuel, menerajui usaha industri untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor perkapalan.

 

Menerusi pensijilan ISCC EU, peserta industri maritim boleh menunjukkan pematuhan terhadap kemampanan dan kriteria penjimatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) EU. 

 

Pengarah Urusan Straits Energy Resources Berhad, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata, perkapalan adalah kaedah paling rendah menggunakan karbon untuk mengangkut barangan berbanding menerusi jalan raya dan penerbangan.

 

Ron Ho
Datuk Seri Ron Ho Kam Choy

 

"Industri perkapalan telah mula beralih kepada bahan api dan sumber tenaga alternatif untuk mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar, selaras dengan Strategi GHG Pertubuhan Maritim Antarabangsa 2023 (IMO).

 

"IMO telah menetapkan sasaran industri untuk mengurangkan pelepasan GHG sekurang-kurangnya 40% menjelang 2030, daripada paras 2008. 

 

"Di sini, penggunaan biofuel mampan, dengan pelepasan GHG yang jauh lebih rendah daripada bahan api fosil, dijangka memainkan peranan penting," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

 

Atas sebab-sebab ini, kata Kam Choy, pasaran untuk biofuel marin yang mampan berkembang pada kadar yang tinggi. 

 

"Kami sangat gembira untuk mengumumkan bahawa Straits, melalui Tumpuan Megah akan memulakan bunkering dan perdagangan biofuel marin pada suku pertama 2024 dan mengharapkan ia menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan masa depan kami.

 

"Selaras dengan agenda pengurangan pelepasan global, pemain industri perkapalan mesti dapat membuktikan bahawa kandungan bio dalam bahan api mereka adalah mampan," jelasnya.- DagangNews.com