Anggota Lembaga Pengarah MGRC saman syarikat itu sendiri atas dakwaan pelanggaran tugas fidusiari | DagangNews Skip to main content

Anggota Lembaga Pengarah MGRC saman syarikat itu sendiri atas dakwaan pelanggaran tugas fidusiari

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Jan - Seorang anggota lembaga pengarah Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) mengemukakan saman pemula terhadap syarikat itu sendiri atas dakwaan pengarah dan pegawai syarikat melanggar kewajipan fidusiari di dalam perdagangan saham yang mengakibatkan kerugian kepada MGRC.

 

Plaintif iaitu Aswath A/L Ramakrishnan adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MGRC mengemukakan saman pemula menurut Seksyen 347 dan 348 Akta Syarikat 2016 pada 11 Januari lalu.


 

Aswath A/L Ramakrishnan
               Aswath A/L Ramakrishnan

 


Menurut MGRC, Aswath mendakwa berlaku pelanggaran kewajipan fidusiari kakitangan syarikat yang berkaitan dengan perdagangan saham yang dilaksanakan oleh MGRC Trading Sdn Bhd dan telah menyebabkan kerugian kepada syarikat.

 

Permohonan yang dibuat oleh Plaintif adalah seperti berikut:

(a) Memulakan sebarang prosiding terhadap Pengarah dan pegawai berkaitan syarikat;

(b) Melantik juruaudit bebas untuk menjalankan semakan dan penyiasatan bebas;

(c) Untuk mendapatkan dokumentasi yang berkaitan dan kerjasama penuh daripada pihak berkaitan termasuk pegawai Syarikat sehingga pelupusan saman pemula;

(d) Kos yang berkaitan dengan saman pemula;

(e) Apa-apa relif lain yang difikirkan patut diberikan oleh Mahkamah.

 

"Syarikat akan mendapatkan nasihat undang-undang yang diperlukan daripada peguam cara berhubung dengan saman pemula yang difailkan itu serta melantik Jawatankuasa Bebas untuk menyemak perkara itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya yang akan diambil.

 

"Selain daripada potensi kos yang mungkin ditanggung Syarikat yang berkaitan dengan kos undang-undang yang sepadan, kos lain yang berkaitan dengannya masih belum ditentukan, dan oleh itu, tiada kesan kewangan dan operasi saman pemula ke atas Syarikat," kata MGRC di Bursa Malaysia.

 

Pengumuman lanjut akan dibuat kepada Bursa Malaysia Securities Berhad apabila terdapat perkembangan penting mengenai perkara di atas, kata MGRC.

 

Kaunter MGRC mencatat kenaikan 1.11% kepada 46 sen sesaham ketika pasaran ditutup hari ini, memberikan permodalan pasarannya sebanyak RM62.43 juta. - DagangNews.com