Angkasa sasar 500 peranti digital terpakai menerusi e-COOPCARE | DagangNews Skip to main content

Angkasa sasar 500 peranti digital terpakai menerusi e-COOPCARE

ABDUL FATTAH ABDULLAH (dua dari kanan) menyerahkan komputer terpakai yang telah dibaikpulih kepada wakil dari Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur Berhad sewaktu Majlis Pelancaran e-COOPCARE yang diadakan di Wisma Ungku. Aziz, Kelana Jaya.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 April - Badan apeks gerakan koperasi negara, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperkenalkan e-COOPCARE sebagai salah satu langkah sokongan kepada kempen MYBAIKHATI.

 

Di bawah e-COOPCARE, Angkasa berhasrat untuk mengumpulkan 500 peranti seperti komputer, komputer riba, tablet dan telefon pintar terpakai untuk diperbaiki semula dan disumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

 

Ini khususnya kepada pelajar sekolah dan universiti serta koperasi yang memerlukan penambahbaikan peranti digital untuk meningkatkan daya saing perniagaan dengan menggunakan platform maya. 

 

Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah menyeru warganya koperasi dan orang ramai turut serta dalam kempen tersebut dengan menghantar peranti digital di ibu pejabat dan mana-mana Pejabat Jawatankuasa Perhubungan Angkasa di seluruh negara. 

 

“Angkasa amat memahami beban yang ditanggung oleh masyarakat pada ketika ini. Pada waktu ini banyak urusan yang perlu diselesaikan menggunakan peranti digital namun pada masa yang sama ramai yang menghadapi kekangan kewangan untuk memiliki peranti tersebut. 

 

“Justeru sebagai institusi yang berpaksikan kesejahteraan anggota dan masyarakat, Angkasa menggerakkan kempen ini bagi membantu masyarakat menyelesaikan keperluan urusan dalam talian seperti pembelajaran maya dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan teknologi bagi meningkatkan daya saing perniagaan dalam ekonomi digital,” jelas Abdul Fattah dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Sebelum ini, MYBAIKHATI diumumkan oleh kerajaan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) untuk mengurangkan jurang digital dan menyokong agenda pendigitalan negara.

 

Dalam pada itu, peranti yang berjaya dikumpul dan dibaiki akan disalurkan semula kepada sekurang-kurangnya 50 buah keluarga atau organisasi sehingga hujung tahun ini. 

 

Pada masa yang sama, satu aplikasi akan dibangunkan bertujuan memantau jumlah penerimaan, proses pembaikan semula dan penyerahan sumbangan bagi memastikan kempen itu mencapai objektifnya. - DagangNews.com