Ant Group disenaraikan, Jack Ma semakin kaya | DagangNews Skip to main content

Ant Group disenaraikan, Jack Ma semakin kaya

 


BEIJING 27 Okt. - Taikun teknologi China, Jack Ma dijangka muncul individu ke-11 terkaya dunia selepas cabang kewangan e-dagang, Alibaba meraih berbilion dana dalam penyenaraian awam, menurut laporan Bloomberg News. 

 

Ant Group semalam berkata, ia merancang untuk mengumpul sehingga AS$34 bilion dalam penyenaraian bersama dengan Hong Kong dan Shanghai, yang merupakan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah. 

 

Syarikat gergasi e-pembayaran yang mendominasi sistem pembayaran dalam talian di China, Alipay merancang untuk menjual 1.67 bilion saham bernilai HK$80 setiap satu di Hong Kong mulai hari ini. 

 

jackMa
JACK MA ternyata seorang yang bijak dalam pelaburan.

 

Menurut AFP yang memetik Bloomberg, bekas guru Bahasa Inggeris itu memiliki 8.8% saham dalam Ant bernilai AS$27.4 bilion berdasarkan kepada harga saham sekali gus melonjakkan nilai kekayaannya kepada AS$71.1 bilion. 

 

"Ini akan meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Bilionair Bloomberg, apabila kekayaannya melebihi Larry Ellison dari Oracle, pewaris L'Oreal Francoise Bettencourt-Meyers dan Waltons, keluarga yang memiliki syarikat gergasi peruncitan, Walmart," kata laporan itu. 

 

Malah, difahamkan sekurang-kurangnya 18 individu akan menjadi bilionair hasil daripada IPO tersebut termasuk pengarah Lucy Peng, pemilik individu Ant terbesar selepas Ma dan pengerusinya, Eric Jing. 

 

Operasi perniagaan Ant berkembang luas bermula daripada e-pembayaran pengguna hinggalah menawarkan kredit perniagaan dan menceburi bidang pengkomputeran awan dan kecerdasan pintar (AI). 

 

Menerusi satu kaji selidik Laporan Hurun minggu lalu mendapati kekayaan Ma melonjak 45% tahun ini apabila perkhidmatan e-dagang mendapat permintaan tinggi disebabkan sekatan pergerakan bagi mengekang pandemik COVID-19. - DagangNews.com