Antler melabur dalam tujuh syarikat pemula Malaysia menerusi perkongsian dengan Khazanah | DagangNews Skip to main content

Antler melabur dalam tujuh syarikat pemula Malaysia menerusi perkongsian dengan Khazanah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Jan - Syarikat modal teroka global, Antler mengumumkan pusingan pelaburan peringkat awal dengan komitmen sebanyak AS$5.1 juta (RM24.2 juta) kepada 37 syarikat pemula di seluruh Asia Tenggara.

 

Ini termasuk tujuh syarikat pemula Malaysia iaitu Cleve, COEX, MessengerCo, PingMi, Seafoody, UniiD dan Zappy . 

 

Kesemua portfolio syarikat pemula tersebut merangkumi 19 sektor daripada kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (Fintech) untuk perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) serta penjagaan kesihatan bagi menangani masalah khusus di setiap rantau. 

 

Pelaburan tersebut juga menandakan permulaan komitmen dan jejak kewujudan Antler di Malaysia sebagai sebahagian daripada perkongsian strategiknya bersama dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

 

Pengasas Bersama dan Rakan Kongsi Pengurusan Antler Asia, Jussi Salovaara berkata, sebagai pelabur di pelbagai peringkat, pihaknya sentiasa mengenal pasti potensi besar syarikat pemula di Asia Tenggara.

 

"Dalam fasa yang dinamik dan mencabar ini, kami tertarik dengan pelaburan pada peringkat permulaan terutamanya terhadap syarikat pemula dalam sektor AI vertikal dan industri 4.0 yang memfokus kepada menangani masalah secara mendalam dan berterusan serta merevolusikan kaedah model dan menterjemah data kepada produk yang nyata. 

 

"Dalam saat yang genting ini, kami memberi tumpuan khusus untuk membantu pengasas mewujudkan dasar yang kukuh buat perniagaan yang mapan dan memupuk inovasi jangka panjang dalam ekosistem teknologi global yang lebih luas," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Rakan Bersekutu dan Pengurus Negara Antler Malaysia, Frank Kang berkata, beliau teruja dengan potensi pusingan pertama pelaburan ini terhadap syarikat pemula tempatan yang terpilih.

 

"Kepelbagaian dan kewibawaan syarikat pemula menunjukkan peningkatan pengaruh negara ini sebagai pemain utama dalam landskap keusahawanan serantau. 

 

"Dengan ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah melabur dalam tujuh syarikat permulaan daripada kohort Antler Malaysia termasuk Cleve, COEX, MessengerCo, PingMi, Seafoody, UniiD dan Zappy,” katanya.

 

Sejak dilancarkan pada 2018, Antler secara konsisten menyokong lebih 1,000 syarikat pemula di seluruh dunia.  - DagangNews.com