Apex Securities nilai harga sasaran Glotrext pada 32 sen | DagangNews Skip to main content

Apex Securities nilai harga sasaran Glotrext pada 32 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai -  Apex Securities memberi harga sasaran pada 32 sen terhadap Glostrext Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2025 (FY23) sebanyak 2.3 sen dan 14 kali harga perusahaan.

 

Firma itu berkata, dengan 31 tahun pengalaman dalam industri, Glostrext telah mencipta rekod prestasi dengan beberapa projek yang besar dan ketara, seperti KLCC, PNB 118, Lapangan Terbang Jewel Changi, Sistem Transit Rapid dan Naga 3 Kompleks Hiburan Bersepadu.

 

Glostrext telah mengekalkan hubungan perniagaan yang baik dengan pelanggannya yang bereputasi seperti TPW Engineering dan Pintary Foundations, yang telah menyediakan kumpulan asas yang kukuh kepada pertumbuhan dan pengembangan perniagaannya pada masa hadapan.

 

Kumpulan itu terlibat dalam perkhidmatan cerucuk, struktur dan berkaitan geoteknik, meliputi perkhidmatan instrumentasi, ujian dan pemantauan kepada projek pembinaan, serta bangunan dan infrastruktur siap yang terdiri daripada bangunan bertanah seperti bangunan bertingkat tinggi, bangunan perindustrian dan terowong.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada keperluan mandatori atau pematuhan pada ujian cerucuk, serta pemantauan struktur dan tanah oleh kerajaan Singapura dan Malaysia.

 

"Dengan kesedaran yang semakin meningkat, permintaan untuk perkhidmatan kumpulan itu dijangka berkembang dan Glostrext berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang perniagaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Glostrext merekodkan prestasi kewangan yang tidak sekata dari FY20 hingga FY23.

 

“Prestasi itu terutamanya disebabkan oleh penggantungan mandatori aktiviti pembinaan yang dikenakan oleh kerajaan Singapura dan Malaysia untuk membendung penularan COVID-19.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan itu akan kembali ke trajektori pertumbuhannya pada FY24 dan FY25, disokong oleh pemulihan dalam sektor pembinaan dan aktiviti ekonomi, ditambah pula dengan kemunculan peluang daripada beberapa projek infrastruktur mega," katanya.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO). - DagangNews.com