Apple rancang pelancaran produk baharu pada 15 September ini? | DagangNews Skip to main content

Apple rancang pelancaran produk baharu pada 15 September ini?

LOS ANGELES 9 Sept. - Apple Inc menetapkan 15 September ini untuk satu acara istimewa, mendorong peminat dan pelabur menjangka syarikat itu bakal mengumumkan produk-produk baharu.

Menurut laporan Reuters, Apple selalunya menggunakan bulan September sebagai acara memperkenalkan produk-produk paling pentingnya, namun versi baharu telefon pintar iPhone mungkin tiada dalam senarai kerana pada Julai lalu, syarikat telah mengumumkan penangguhan.

Produk-produk lain yang biasa dilancarkan pada September termasulah versi baharu Apple Watch dan iPad.

Acara pada 15 September ini akan disiarkan secara langsung menerusi laman web syarikat dari kampusnya di Cupertino, California kata Apple, tanpa memberikan butiran penuh.

Pengeluar iPhone itu hanya menyatakan perkataan penuh misteri kepada media berbunyi: “Time flies” (Masa berlalu).

Apple, dikenali dengan majlis pelancaran yang gemilang dihadiri ratusan wartawan di kampusnya, terpaksa menurunkan sedikit keseronokan tahun ini dengan mengadakan acara secara maya buat pertama kali, disebabkan COVID-19.

Ketua pemasaran Apple, Greg Joswiak menerusi Twitter mengutus video, dengan tarikh pelancaran muncul di dalam format realiti augmented, memberi bayangan elemen 3D pada acara itu kelak.

Penganalisis Investing.com, Haris Anwar berkata, beliau tidak menjangkakan iPhone 12 akan dilancarkan pada minggu depan tetapi disebabkan keriuhan mengenai keupayaan 5G, masa adalah segalanya dan penangguhan bakal membawa isu besar kepada Apple.

Beliau berpandangan Apple mungkin menetapkan tarikh lain untuk pelancaran versi baharu iPhone.

“Tetapi jika mereka tidak dapat melakukannya pada Oktober, ia boleh menjejaskan terus jualan mereka semasa musim percutian, di mana ramai orang mahu menukar telefon kepada versi yang baharu,” kata Anwar. - DagangNews.com