Arahan MoF hanya beri impak minimum, Alliance, Affin, BIMB paling terjejas | DagangNews Skip to main content

Arahan MoF hanya beri impak minimum, Alliance, Affin, BIMB paling terjejas

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kedudukan bank masih teguh dan mampu merekodkan keuntungan meskipun kerajaan mengarahkan pengecualian bayaran faedah moratorium melibatkan kumpulan 50% ke bawah selama 3 bulan. 

 

Ini kerana ia hanya memberi impak minimum kepada sektor perbankan memandangkan tempoh masa pengecualian faedah yang singkat mulai Oktober hingga Disember 2021 dan membabitkan mereka yang mengambil moratorium sahaja.

 

Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, arahan Kementerian Kewangan (MoF) itu hanya menjejaskan segmen pendapatan faedah bank dalam kadar yang kecil dan bukannnya keseluruhan pinjaman bank. 

 

Bagaimanapun, katanya, perkara yang menjadi kebimbangan sektor perbankan ialah kemungkinan kos kredit lebih tinggi dan kualiti aset ekoran sekatan pergerakan yang berpanjangan. 

 

"Tetapi, kami yakin sektor perbankan mampu menyerap kos kredit yang lebih tinggi daripada jangkaan dan tekanan terhadap kualiti aset dengan mengambil kira tahap penampan yang tinggi. 

 

"Pada masa sama, kami menjangkakan sebarang peningkatan kos kredit ini tidak akan menyamai tahun kewangan 2020 kerana situasi yang dihadapi tahun ini adalah berbeza," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

MIDF Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan dengan melihat sebarang reaksi mendadak akan memberi peluang kepada pelabur. Public Bank dan RHB Bank menjadi pilihan utamanya bagi saham perbankan.  

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek sektor perbankan bagi tahun kewangan 2021 dan juga 2022. 

 

"Keyakinan kami ini bersandarkan kepada usaha pemulihan ekonomi apabila ia dibuka semula secara berperingkat-peringkat," tambahnya. 

 

Berdasarkan analisis firma itu, peminjam dari kalangan kumpulan B40 tidak begitu ketara memandangkan mereka menyumbang kurang 10% daripada jumlah pinjaman bank. 

 

Berdasarkan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2020 Bank Negara Malaysia, didapati peminjam dengan pendapatan sehingga RM5,000 menyumbang 37.9% kepada jumlah hutang isi rumah. 

 

"Oleh itu, kesan pengecualian ini dilihat tidak ketara dengan penurunan sekitar 1.7% kepada hasil faedah bank, justeru, kami menganggarkan kesannya kepada hasil bank adalah tidak kurang daripada 5%," jelasnya.

 

 

Baca : MOF arah institusi perbankan segera kecualikan bayaran faedah penerima moratorium

 

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

 

Ia membabitkan penerima moratorium dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh 3 bulan pada suku keempat 2021. 

 

Kerajaan mengumumkan pakej bantuan moratorium automatik pinjaman selama 6 bulan kepada semua peminjam individu tanpa syarat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw berkata, setiap pengurangan 1% dalam pendapatan faedah kasar (GII) akan merendahkan untung bersih bank bagi tahun kewangan 2021 (atau tahun kewangan 2022 bagi Hong Leong Bank Bhd, AMMB Holdings Bhd. dan Alliance Bank Malaysia Bhd.) kira-kira 1.9%. 

 

"Kami menjangkakan, bank yang paling kurang terjejas ialah Hong Leong Bank (pada 1.5% daripada untung bersih) berikutan sumbangan kukuh menerusi sekutunya dari Bank of Chengdu, yang kami anggarkan merangkumi 26.3% daripada untung bersih tahun kewangan 2022. 

 

"Sebaliknya, 3 bank yang kecil iaitu Alliance Bank, Affin Bank Bhd. dan BIMB Holdings Bhd. akan terjejas kira-kira 3% ke atas untung bersihnya bagi setiap 1% pengurangan GII," jelasnya.  

 

Berdasarkan simulasi yang dijalankannya, Aw berkata, anggaran kasar daripada kesan pengecualian faedah ini adalah kira-kira RM1.42 bilion, yang berlaku sekali sahaja dan menjejaskan untung bersih bank sebanyak 5%.

 

Namun, katanya, kesannya adalah kecil bagi Malayan Banking Bhd. (Maybank) kira-kira 3.9% memandangkan 61% pinjamannya adalah di Malaysia. 

 

"Impaknya mungkin besar bagi Alliance Bank dan Affin Bank iaitu sekitar 9% ekoran untung bersih mereka yang lemah disebabkan peruntunkan kerugian pinjaman yang tinggi," katanya. 

 

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah mengambil kira impak ke atas sektor perbankan, pemulihan pendapatan masih kekal kukuh dengan untung bersih dianggar berkembang 10% bagi tahun kewangan 2021 berbanding penurunan 15.7% bagi tahun kewangan 2020. 

 

Oleh itu, katanya, bank akan mencatat pertumbuhan untung bersih yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2020. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor perbankan dengan pilihan utamanya bagi saham Public Bank, Maybank dan Hong Leong Bank. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chan Jit Hoong berkata, pengumuman MoF itu dilihat sebagai negatif tetapi tidak memberi kesan ketara kepada bank. 

 

Berdasarkan analisisnya, kiraan kadar faedah bagi tempoh 3 bulan itu hanya kurang 2% daripada pendapatan bank. 

 

"Meskipun, kami menganggap pengambilan moratorium dalam kalangan kumpulan 50% ini adalah tinggi, impak maksimum juga kurang daripada 7%. 

 

"Kami mendapati, Affin Bank dan BIMB akan mengalami kerugian paling banyak manakala Maybank dan CIMB Group Holdings Bhd. paling kurang terjejas," katanya. 

 

Beliau juga menjelaskan, walaupun ia meliputi pinjaman yang lebih meluas, kesannya tidak begitu ketara berbanding moratorium 1.0. 

 

Ini kerana ia membabitkan 3 bulan sahaja (berbanding 6 bulan tahun lalu) manakala asas keuntungan bank bagi tahun kewangan 2021 adalah lebih besar berikutan tahap peruntukan yang rendah. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor perbankan dan berpendapat kelemahan harga saham sebagai satu peluang kepada pelabur.

 

Malah, katanya, profil ganjaran risiko bagi sektor ini akan terus meningkat dengan kemungkinan pandemik akan berakhir pada 2022 yang menyaksikan ekonomi dan sektor perbankan akan bertambah baik. 

 

Dari segi bank bersaiz besar, Maybank dan Public Bank menjadi pilihan utamanya berikutan kedudukan kualiti aset yang kukuh berbanding CIMB. - DagangNews.com