KUALA LUMPUR 13 Jan - Asia Poly Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Asia Poly Industrial Sdn. Bhd. (API) membeli keseluruhan pegangan atau 1.11 juta saham dalam syarikat pegangan pelaburan, Keng Imports & Exports Sdn Bhd (KIESB) pada nilai RM24.02 juta.
Ketika ini, KIESB memegang pemilikan tanah perindustrian yang terletak di Kapar, Klang berkeluasan 18,364 meter persegi.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengeluar lembaran akrilik tuang ini berkata, kawasan tersebut terletak di lokasi strategik hampir 800 meter daripada kilang pengeluaran akrilik kumpulan di Meru, Klang.
Katanya, apabila langkah pengambilalihan itu selesai, API akan memegang 100% ekuiti dalam KIESB yang mana ia akan menjadi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya Asia Poly.
"Pengambilalihan ini membolehkan kumpulan mengembangkan kapasiti pengeluaran sehingga 3,200 tan metrik sebulan bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan luar negara terutama Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat," katanya.
Langkah pengambilalihan tersebut akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Pertimbangan pembelian itu dibuat mengikut 'willing buyer-willing seller' (kedua-dua pembeli dan penjual saling bersetuju) yang dijangka selesai dalam tempoh 90 hari daripada tempoh pelaksanaan perjanjian.
Menurut Asia Poly, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa depan.
"Pengambilalihan ini tidak memberi kesan kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," tambahnya. - DagangNews.com