Asnaf di Sabah terima sumbangan van Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Asnaf di Sabah terima sumbangan van Tabung Haji

Wan Rohimi Wan Daud (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan van daripada Tabung Haji kepada Penyelaras PPPASN, Siti Musa di Kota Kinabalu, 30 Oktober 2021.
 

KOTA KINABALU 30 Okt - Setelah hampir 20 tahun memohon sumbangan kenderaan bagi kegunaan harian, kini Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan, Sabah (PPPASN) tidak lagi perlu bersusah payah meminta pertolongan pengangkutan apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sebuah van menerusi Program Mobiliti TH.

 

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Wan Rohimi Wan Daud telah hadir menyerahkan replika kunci van tersebut kepada Penyelaras PPPASN, Siti Musa.

 

Dengan sumbangan van ini, penghuni Pusat Jagaan PPPASN akan lebih mudah untuk bergerak dan menguruskan hal-hal berkaitan proses pembelajaran serta perubatan anak-anak asnaf yang terdiri dalam lingkungan 4 sehingga 16 tahun.

 

Faktor jarak pusat jagaan yang jauh ke bandar Sandakan iaitu 13 km juga menjadi kekangan kepada mereka sebelum ini kerana terpaksa menyewa kenderaan luar dengan caj yang mahal atau melalui sumbangan individu dan Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan nasib penghuni pusat jagaan ini.

 

Wan Rohimi berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat prihatin dengan apa yang dialami oleh segenap rakyat, khususnya para asnaf yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

 

Justeru, antara usaha TH menyumbang kepada golongan bersasar yang terjejas menerusi Program Mobiliti ini perlu dilihat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia. 

 

“Konsep ini menekankan pemeliharaan kesejahteraan negara dan rakyat, mencakupi nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar di mana negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik COVID-19,” tambah beliau lagi.

 

Melalui Program Mobiliti 2021, TH akan menyumbang 25 buah van penumpang ke rumah-rumah kebajikan terpilih di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

 

TH turut memperuntukan RM18.7 juta bagi melaksanakan program lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat. Program Mobiliti TH telah dilancarkan pada tahun 2016 yang bertujuan menyumbang van dwi-fungsi yang boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai van penumpang atau van jenazah.

 

Sejak diperkenalkan, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat lebih daripada 200 ribu kariah.

 

Pada tahun ini, TH memperluaskan penerima sumbangan ini ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Datin Nurlaila Said, Pengarah TH Wilayah Sabah & Sarawak, Ahli Jawatankuasa PPPASN dan anggota-anggota TH. – DagangNews.com