Antara faktor yang mempengaruhi prestasi kewangan Kossan termasuklah pelan pengembangan secara agresif daripada pengeluar sarung tangan getah sedia ada dan baharu. - Gambar hiasan/Bloomberg
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Harga purata jualan (ASP) bagi sarung tangan getah yang semakin menurun dijangka terus mempengaruhi prestasi kewangan Kossan Rubber Industries Bhd. pada suku berikutnya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih Kossan melonjak kepada RM528 juta menjadikan untung bersih teras bagi tempoh 9 bulan sebanyak RM2.7 bilion.
Prestasi kewangan itu merangkumi 85% daripada unjuran CGS-CIMB dan 86% daripada konsensus Bloomberg bagi anggaran tahun sepenuhnya.
"Kami menganggapnya memenuhi jangkaan kerana kami menjangkakan prestasi kewangan yang lemah pada suku keempat ini," jelas penganalisisnya, Walter Aw.
Dalam nota kajiannya, beliau berkata, Kossan dijangka merekodkan prestasi sukuan yang lemah bagi tahun kewangan 2022/2023 disebabkan penurunan ASP dan jumlah jualan lebih rendah.
Antara faktor yang mempengaruhi prestasi kewangan Kossan termasuklah pelan pengembangan secara agresif daripada pengeluar sarung tangan getah sedia ada dan baharu, trend pembelian yang semakin berkurangan dan kontrak tempahan pula lebih rendah.
"Dari segi penurunan ASP yang lebih cepat berbanding jangkaan, kami menyemak turun anggaran ASP bagi tahun kewangan 2022/2023 kepada AS$35.1/AS$27.9 per 1,000 keping (daripada AS$38.2/AS$29.4 sebelum ini).
"Kami turut mengurangkan jumlah jualan lebih rendah bagi tempoh itu setelah mengambil kira trend pembelian semakin berkurangan. Ini menjadikan unjuran pendapatan sesaham bagi 2022/2023 dikurangnya sebanyak 26.6%/24%," jelas beliau.
Baca : Kossan Rubber catat untung bersih RM528.2 juta pada Q3
CGS-CIMB bagaimanapun mengulangi saranan 'tambah' bagi saham Kossan tetapi menyemak semula harga sasaran lebih rendah kepada RM3 (berbanding RM4 sebelum ini).
Ia mengekalkan penarafan saham Kossan berdasarkan kepada penilaiannya yang menarik (ketika ini diniagakan dengan 17.8% diskaun kepada min 5 tahun Kossan sebanyak 16X) dan kedudukan imbangan tunai yang kukuh (dengan tunai bersih sebanyak RM2.5 bilion setakat akhir 30 September 2021) serta permintaan global bagi sarung tangan getah tidak elastik dalam tempoh jangka masa panjang.
Sementara itu, penganalisis AmInvestment Bank Research, Alan Lim Seong Chun mengekalkan saranan 'pegang' bagi Kossan dengan nilai saksama disemak rendah pada RM2.55 berbanding RM3.06 sebelum itu.
Firma itu juga mengurangkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2022/2023 sebanyak 32%/26% kepada RM478/RM384 juta setelah mengambil kira anggaran baharu bagi ASP sarung tangan getah nitril pada AS$28.7/AS$26.7 (berbanding AS$26.6/AS$25.5).
Tetapi, ia mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 memandangkan ia mengekalkan ASP pada AS$58.6.
Seong Chun berkata, kenaikan bagaimanapun adalah terhad memandangkan penurunan ASP semakin berterusan.
Dalam hal ini, katanya, ia dijangka berlaku sehingga suku keempat ini tetapi berakhir pada awal 2022.
"Oleh itu, penurunan juga terhad kerana harga sahamnya telah jatuh ke bawah tahap pra pandemik pada RM2.45 sesaham, yang terakhir dicatatkan pada 31 Januari 2020.
"Ketika itu, wabak COVID-19 belum lagi merebak ke Malaysia dan kes harian di peringkat global juga rendah, sekitar 2,000 sahaja. Malah, ASP juga belum lagi mula meningkat.
"Memandangkan Kossan telah berkembang, dengan imbangan tunai yang kukuh, kami percaya penilaian kami pada RM2.45 adalah wajar memandangkan asasnya masih kekal utuh," jelas beliau.
Setakat 10.48 pagi ini, saham Kossan menokok 7 sen atau 2.87% kepada RM2.51 dengan 2.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com