Asri Hamidon dilantik Pengerusi Digital Nasional | DagangNews Skip to main content

Asri Hamidon dilantik Pengerusi Digital Nasional

Datuk Asri Hamidon

Datuk Asri Hamidon

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pelantikan Datuk Asri Hamidon sebagai Pengerusi Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pembangunan teknologi 5G di negara ini.

 

Selain Asri, MoF turut mengumumkan beberapa pelantikan lain iaitu Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.

 

Pelantikan tersebut dibuat susulan pengumuman rangka tindakan digital Malaysia, MyDigital oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Februari lalu dan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai pelancaran 5G di Malaysia.

 

 

Berikut adalah senarai lantikan yang diumumkan MoF;

.

 

MoF berkata, gabungan lantikan profesional dengan pengkhususan di dalam sektor-sektor seperti kewangan awam, penguatkuasaan telekomunikasi, teknologi maklumat, telekomunikasi dan perundangan merupakan kombinasi kemahiran dan pengalaman yang tepat untuk membina, memiliki dan menguruskan rangkaian 5G Malaysia untuk pelancaran komersil seluruh negara. 

 

Ahli pengurusan kanan DNB itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, DNB akan menawarkan perkhidmatan 5G melalui model borong yang dirangka untuk memastikan ketelusan dan pelaksanaan yang lebih baik.

 

"Adalah sangat penting untuk kita melancarkan pelan rangkaian 5G segera, secara sistematik dan profesional untuk memacu inisiatif pertumbuhan negara melalui MyDigital, yang bertujuan untuk memastikan kemajuan sosio-ekonomi dan keterangkuman bagi semua rakyat Malaysia.

 

"Kita tidak boleh ketinggalan di kala seluruh dunia pantas menggunapakai teknologi seperti kecerdasan buatan, kenderaan pandu sendiri, robotik, Internet of Things (IOT), pengkomputeran awan dan digital twin untuk terus mencipta peluang baru bagi pertumbuhan masa hadapan.

 

"Tahniah kepada mereka yang telah dilantik, yang secara keseluruhannya merupakan gabungan bakat dan pengalaman yang amat sesuai bagi memastikan akses saksama kepada keupayaan 5G untuk rakyat dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

DNB akan diuruskan berlandaskan kerangka governans yang sesuai, proses tender terbuka bagi pembangunan infrastruktur 5G, serta amalan terbaik global untuk memastikan pengurusan yang mantap. 

 

Semua pemain perkhidmatan telekomunikasi akan mendapat akses terbuka, adil dan setara di dalam mendapatkan perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk pembangunan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G tersebut.

 

Tambah Zafrul, kerajaan berharap dapat bekerjasama dengan sektor swasta di dalam industri telekomunikasi domestik bagi membantu Malaysia mencapai aspirasi 5G negara.

 

"Dengan fokus DNB kepada pelaburan infrastruktur 5G, pemain sektor swasta dapat menumpukan usaha mereka kepada penyampaian produk dan perkhidmatan yang lebih baik, tanpa dibebani oleh pelaburan yang besar, atau perbelanjaan modal yang bertindih dengan kerajaan.

 

"Ini adalah satu situasi yang memanfaatkan semua pihak, termasuk pengusaha telekomunikasi, perniagaan dan pengguna, demi penumpuan usaha ke arah penyediaan 5G menjelang akhir 2021," ujar beliau. - DagangNews.com