Astro catat hasil lebih rendah pada FY22, terjejas akibat pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Astro catat hasil lebih rendah pada FY22, terjejas akibat pandemik COVID-19

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - Astro Malaysia Holdings Bhd. merekodkan untung bersih yang lebih rendah bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2022, susut 24.6% kepada RM126.59 juta berbanding RM167.83 juta bagi tempoh sama 2021. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 6.9% kepada RM1.03 bilion daripada RM1.11 bilion terutamanya disebabkan penurunan dalam jualan langganan dan barangan, yang diimbangi oleh peningkatan dalam
hasil pengiklanan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (FY22), untung bersihnya menurun kepada RM460.88 juta daripada RM539.85 juta disebabkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.

 

Margin EBITDA menurun sebanyak 3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kos kandungan yang lebih tinggi, kos jalur lebar dan perbelanjaan pemasaran dan pengedaran, dikurangkan oleh kos barangan yang lebih rendah, sebagai peratusan hasil.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM4.18 bilion berbanding RM4.36 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Hasil kumpulan bagi sepanjang tahun kewangan terus terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Berbanding suku ke suku, untung bersih meningkat 20% kepada RM126.59 juta selepas mengambil kira impak Cukai Makmur pada FY22 manakala hasil meningkat 1% kepada RM1.03 bilion.

 

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, prestasi kewangan kumpulan bagi suku keempat meningkat berbanding suku ke suku disokong pemulihan ekonomi.

 

Bagaimanapun, katanya, sentimen pengguna dan kuasa belanja masih lagi kekal perlahan, justeru, kumpulan kekal menjana tunai, mendisiplinkan kos dan proaktif dalam pengurusan modal syarikat.

 

"Oleh itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.5 sen sesaham dan mencadangkan dividen akhir sebanyak 0.75 sen sesaham, bagi menghargai pemegang saham dengan dividen tahun penuh sebanyak 6.75 sen sesaham.

 

"Ini mewakili 76% daripada keuntungan FY22, melebihi dasar dividen kami untuk membayar 75% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI)," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, kumpulan telah menggandakan perkhidmatan penstriman kepada 6 dengan Netflix, Disney+ Hotstar dan TVBAnywhere+ yang menyertai Astro GO, HBO Go dan iQIYI, dengan banyak lagi yang akan datang dalam tahun kewangan berakhir 2023.

 

Katanya, ini dapat membantu memperkukuhkan Astro sebagai destinasi penstriman untuk rakyat Malaysia, yang mana Netflix sudah sepenuhnya diintegrasi ke dalam Ultra dan Ulti Box dan ini akan diikuti Disney+ Hotstar.”

 

“Lebih 550,000 rumah mempunyai Ultra dan Ulti Box yang berfungsi menerusi satelit dan jalur lebar. Sementara itu, Astro GO mencecah 919,000 pengguna aktif dengan purata jam tontonan mingguan sebanyak 4 jam, manakala penstriman rancangan menerusi On Demand pula melonjak sebanyak 139% dari tahun ke tahun kepada 530 juta," katanya.

 

Namun, menurutnya, kumpulan kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap pemulihan ekonomi pada FY23 terutama disokong peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik. 

 

"Kami akan terus memantau situasi semasa di samping berhemat dalam pengurusan kos. Ini kerana walaupun peralihan kepada endemik dijangka memberi impak positif kepada perniagaan dan isi rumah tetapi pemulihan ekonomi juga dijangka tidak sekata.

 

"Situasi ini terutamanya disebabkan gelombang COVID-19, inflasi, kemungkinan  kenaikan kadar faedah dan impak daripada ketegangan geopolitik," jelasnya. - DagangNews.com