Astro catat pendapatan RM1.11 bilion bagi suku keempat | DagangNews Skip to main content

Astro catat pendapatan RM1.11 bilion bagi suku keempat

 

 


KUALA LUMPUR 25 Mac - Pendapatan Astro Malaysia Holdings Berhad kekal stabil pada RM1.11 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2021.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) juga terus berdaya tahan pada RM168 juta untuk tempoh tersebut. 

 

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, prestasi syarikat untuk suku tahun keempat dilihat kekal kukuh di sebalik fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini. 

 

Katanya, penyata kewangan Astro masih lagi teguh, terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat. 

 

"Pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim keempat bernilai 1.5 sen sesaham dan mencadangkan dividen akhir sebanyak 2.5 sen sesaham, seterusnya memberi penghargaan kepada pemegang saham kami dengan dividen keseluruhan tahun ini sebanyak 8.0 sen sesaham (untuk makluman, pada tahun FY20, bayaran dividen adalah sebanyak 7.5 sen sesaham)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jumlah itu mewakili 77% dari nilai keuntungan yang dijana pada tahun kewangan 2021, mengatasi dan lebih banyak dari jumlah dividen yang termaktub di dalam polisi iaitu sebanyak 75% dari PATAMI.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, dengan melalui fasa pemulihan secara berturut-turut pada 3 kali suku tahunan, Astro akhirnya berjaya mencatatkan hasil pendapatan dan PATAMI yang dilihat berdaya tahan pada tahun kewangan 2021 dengan masing-masing merekodkan sebanyak RM4.4 bilion dan RM540 juta.

 

“Adex kami juga dilihat mencatatkan pemulihan kerana produksi atau program-program siaran langsung Astro kini boleh kembali beroperasi, selain dari tayangan siri-siri Astro Originals kami yang begitu mengujakan. 

 

"Pendapatan yang dijana menerusi prabayar NJOI turut meningkat sebanyak 36% dari suku tahun ke suku tahun," katanya. 

 

Tawaran jalur lebar yang digabungkan dengan perkhidmatan Astro (‘Astro broadband bundles’) memperlihatkan jumlah pendaftaran yang begitu menggalakkan dengan lonjakan sebanyak 60% di segmen pendaftaran langganan jalur lebar dari tahun ke tahun. 

 

Pada masa sama, Go Shop kekal mendominasi permintaan dan pembelian di atas talian, yang mana telah berjaya merekodkan perolehan tertinggi dengan RM461 juta. - DagangNews.com